Sangka makan 'tulang mumia' rupanya kaki burung merpati

Fatein Azrin tidak menyangka 'tulang mumia' yang dihidangkan sebagai pembuka selera merupakan kaki burung merpati di restoran bertaraf lima bintang sekitar Kuala Lumpur.
Fatein Azrin tidak menyangka 'tulang mumia' yang dihidangkan sebagai pembuka selera merupakan kaki burung merpati di restoran bertaraf lima bintang sekitar Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita terkejut apabila disajikan hidangan pembuka selera seperti 'tulang mumia', namun sebenarnya kaki burung merpati.

Pengalaman itu dikongsi oleh Fatein Azrin Megat M Amin menerusi video di aplikasi TikTok selepas pertama kali datang menikmati sajian mewah di restoran bertaraf lima bintang.

Menurut wanita itu, restoran berkenaan memang menghidangkan burung merpati dalam set menu mereka.

“Saya ke restoran berkenaan selepas rakan mencadangkan untuk mencuba makanan di situ kerana dia kata sedap.

“Saya dimaklumkan memang ada hidangan burung merpati dalam set menu itu, tetapi saya tak sangka langsung mereka beri bahagian kaki sebagai pembuka selera.

“Tetapi saya makan sahaja cuma takut tengok rupanya macam tulang mumia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, menurut Fatein Azrin, sajian tersebut dimasak oleh cef profesional dan rasanya sangat enak selain persembahan makanan yang berbeza daripada kebiasaan.

Tambahnya, seni hidangan yang ditampilkan bertaraf antarabangsa sesuai dengan konsep sajian mewah yang cuba ditonjolkan oleh restoran tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Makanan yang dihidangkan memang sedap cuma cara persembahan yang dilakukan lain daripada kebiasaan,” katanya.

Sementara itu, di ruangan komen pula mendapati, rata-rata netizen terhibur dengan video tersebut dan terdapat juga pengguna di TikTok berpendapat hidangan tersebut kelihatan pelik serta lucu.

Bagi pengguna @Arebil93 berkata, hidangan di restoran mewah selalunya mempunyai rupa yang aneh dan kadangkala bentuk makanan itu tidak masuk akal.

"Saya lebih rela pergi kedai tomyam. Baru nak berangan macam orang kaya tetapi terus tak jadi lepas tengok video ini," katanya.

Sementara itu, menurut pengguna TikTok bernama @ShimaDea, saiz hidangan tersebut tidak sesuai kepada mereka yang kuat makan kerana terlalu sedikit dan tidak mengenyangkan.

“Saya kuat makanan tapi kalau tengok saiz macam itu boleh kemurungan lagi-lagi kalau kecil sangat memang tak kenyang,” katanya.

Video tersebut menerima 219,300 tanda suka dan lebih 10,000 komen daripada pengguna aplikasi TikTok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!