Perodua pamer prototaip EV pertama di Malaysia Autoshow 2024

Perodua prototaip EV pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1 pada Malaysia AutoShow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Selasa. Foto Bernama
Perodua prototaip EV pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1 pada Malaysia AutoShow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi elektriknya dengan memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Myvi Conversion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu yakin model EV pertamanya itu dapat dilancarkan menjelang akhir tahun depan.

"Kita akan cuba lancarkan pada penghujung 2025, kerana pembangunannya mengambil masa mungkin kurang daripada tiga tahun.

Zainal Abidin menyampaikan ucapan sempena Pameran Prototaip EV Pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1 pada Malaysia AutoShow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Selasa. Foto Bernama
Zainal Abidin menyampaikan ucapan sempena Pameran Prototaip EV Pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1 pada Malaysia AutoShow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Selasa. Foto Bernama

"Apa yang boleh saya katakan di sini ialah harganya tidak akan melebihi RM100,000 dan tidak kurang daripada RM50,000. Kami juga mempunyai pelbagai rancangan menarik yang akan dimaklumkan pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita di Malaysia Autoshow 2024 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, prototaip EV tersebut, yang terdiri daripada bangku pengujian kuasa, rangkaian penggerak kuasa dan rekaan keseluruhan rangkanya, dibuat terutamanya di Malaysia, manakala teknologi penukaran kuasa adalah dengan usaha sama syarikat berpangkalan di Australia.

"Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia, bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perodua yakin model EV pertamanya itu dapat dilancarkan menjelang akhir tahun depan. Foto Bernama
Perodua yakin model EV pertamanya itu dapat dilancarkan menjelang akhir tahun depan. Foto Bernama

Kerjasama berkenaan, yang bermula sejak September 2022, menyaksikan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.

Langkah ini sekali gus membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

"Ini adalah permulaan bagi kami dan kami mahu menjadikan permulaan ini dekat dengan hati rakyat Malaysia,” kata Zainal Abidin.

Bagi memastikan produk EV pertamanya itu membuahkan hasil, Perodua turut mengutamakan pembangunan bersama vendor tempatan dengan jangkaan penyertaan lebih 60 vendor untuk menyokong pengeluaran secara besar-besaran.

Perodua prototaip EV pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1. Foto Bernama
Perodua prototaip EV pertama dikenali sebagai Myvi Emo-1. Foto Bernama

"Diharapkan apabila tiba masanya nanti, mereka bersedia untuk memanfaatkan semua pembangunan produk berkaitan EV, bukan sahaja untuk Perodua tetapi juga dengan pengeluar peralatan asli yang lain,” katanya.

Pengeluar kereta itu juga sedang mempertimbangkan untuk mengembangkan infrastrukturnya bagi menampung pengeluaran model EV yang akan datang, sama ada dengan membina kilang baharu atau mencari rakan kongsi dengan entiti berkebolehan yang lain. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!