17 maut, 8 cedera kenderaan terjunam dalam gaung di India

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan lapan lagi cedera pada Isnin selepas sebuah kenderaan pikap yang membawa mereka tergelincir dari jalan dan terjunam ke dalam gaung di negeri Chhattisgarh, tengah India, lapor Xinhua.

Kemalangan itu berlaku berhampiran Kampung Bahpani di Daerah Kabirdham, kira-kira 173 kilometer barat laut Raipur, ibu kota Chhattisgarh.

Pegawai berkata, kenderaan pikap itu membawa 25 pekerja yang pulang selepas memetik daun tendu dari kawasan hutan.

Polis telah mendaftarkan kes dan mengarahkan siasatan ke atas kemalangan itu.

Media tempatan melaporkan bahawa pekerja-pekerja berkenaan adalah daripada komuniti suku Baiga, yang terlibat dalam perniagaan pembuatan bidi, dan mereka mengumpul daun tendu.

Bidi adalah rokok kecil yang digulung dengan tangan menggunakan tembakau dan dibungkus dengan daun tendu.

Kemalangan maut di India sering disebabkan oleh lebihan muatan, keadaan jalan yang teruk dan pemanduan secara melulu.

Hampir 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kira-kira setengah juta kemalangan jalan raya di seluruh India, kata pegawai. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!