Jualan kenderaan baharu menyusut sehingga 18 peratus - MAA

Jualan kenderaan baharu Malaysia menyusut sehingga 18 peratus. Foto Infokereta.com
Jualan kenderaan baharu Malaysia menyusut sehingga 18 peratus. Foto Infokereta.com
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah volum industri (TIV) jualan kenderaan baharu Malaysia bagi April tahun ini menyusut sehingga 18 peratus berbanding Mac lepas yang mencatatkan sebanyak 71,052 unit.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, penurunan pasaran itu berikutan tempoh masa bekerja yang singkat disebabkan cuti sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, menurut persatuan tersebut, jumlah TIV untuk dagangan jualan tahun (YTD) pada April 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama bagi tahun 2023.

“Dari segi jualan, kenderaan penumpang (PV) bagi April 2024 meningkat kepada 53,253 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu 42,587 unit.

“Kenderaan komersial (CV) pula merosot sembilan peratus iaitu daripada 5,215 dalam April 2023 kepada 4,738 bagi April 2024.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan PV dan CV bagi April 2024 meningkat 21 peratus iaitu sebanyak 57,991 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan 47,802 unit,” katanya pada Isnin.

Pada 23 April lalu, MAA memaklumkan jualan kenderaan baharu Malaysia pada Mac 2024 susut 10 peratus kepada 71,052 unit berbanding 78,881 yang didaftarkan pada bulan sama tahun lepas.

Bagaimanapun, persatuan terbabit menyatakan TIV pada Mac adalah 10 peratus lebih tinggi daripada Februari 2024 iaitu sebanyak 64,290 unit.

Artikel Berkaitan:

Dari segi pengeluaran, MAA menjelaskan, PV mencatatkan sebanyak 53,857 unit pada April 2024, meningkat berbanding April 2023 yang hanya 38,575 unit, manakala CV 3,038 daripada 2,585 unit.

“Jumlah YTD bagi pengeluaran PV (naik 13 peratus) dan CV (merosot tiga peratus) April 2024 mencatatkan 12 peratus iaitu sebanyak 267,326 unit berbanding 239,554 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama untuk 2023.

“Kami menjangkakan jualan bagi Mei 2024 lebih tinggi sedikit berbanding April lepas,” ujar MAA lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!