Pahang sasar 30 OKU penglihatan celik al-Quran setahun

Sabariah (kiri) melihat al-Quran braille yang digunakan oleh persatuan itu oleh Mohd Bakhri (tengah) sambil diperhatikan Mohd Zawawi (kanan).
Sabariah (kiri) melihat al-Quran braille yang digunakan oleh persatuan itu oleh Mohd Bakhri (tengah) sambil diperhatikan Mohd Zawawi (kanan).
A
A
A

TEMERLOH - Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 30 orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri itu celik al-Quran pada tahun ini menerusi pembelajaran al-Quran e-braille.

Sebelum itu, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi pembelian al-Quran e-braille untuk membantu golongan tersebut di negeri ini membaca al-Quran.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, setakat ini, terdapat 20 peserta yang mempelajari al-Quran braille di pusat aktiviti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Cawangan Pahang.

Menurutnya, pusat itu akan dijadikan pusat pentadbiran pembelajaran al-quran e-braille yang pertama di Pahang.

"Setakat ini dua kursus berkaitan telah dijalankan dan Insya-ALLAH dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang menguruskan al-Quran e-braille ia boleh dijayakan.

"Kita berharap supaya tempat ini menjadi pusat pentadbiran pembelajaran e-braille yang pertama di Pahang dan saya rasa mungkin di Malaysia," katanya di sini baru-baru ini.

Sabariah (tengah) ketika mengadakan Ziarah Kasih di bangunan Persatuan itu baru-baru ini.
Sabariah (tengah) ketika mengadakan Ziarah Kasih di bangunan Persatuan itu baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas Ziarah Kasih bersama Pertis yang diketuai pengerusinya, Mohd Bakhri Mohd Said.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Naib Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Mohd Zawavi memberitahu, modul al-Quran E-braille itu lebih canggih dan lebih menjimatkan masa untuk peserta selain menyediakan tenaga pengajar untuk membantu persatuan terbabit.

"Dengan menggunakan sistem daripada Jerman yang telah dibangunkan anak tempatan proses pembelajaran al-quran e-braille menjadi mudah," jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Bakhri bersyukur dan gembira dengan inisiatif kerajaan negeri dan UniPSAS untuk membantu persatuan berkenaan.

"Jika dahulu golongan OKU cacat penglihatan mempelajari al-Quran dengan menggunakan kaedah lama seperti buku braille, kini dengan al-quran e-braille, pembelajaran pelajar lebih berkesan kerana mampu menguasai lebih cepat daripada sebelumnya," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!