JDT laung amaran awal

Salah satu aksi ketika perlawanan JDT melawan NSFC dalam Perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers
Salah satu aksi ketika perlawanan JDT melawan NSFC dalam Perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) melaungkan amaran awal untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut apabila mengalahkan Negeri Sembilan FC 3-1 dalam aksi Liga Super 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Jaringan pertama skuad Harimau Selatan dihasilkan menerusi sentuhan Bergson Da Silva pada minit ke-13 selepas menyudahkan hantaran Muhamad Feroz Baharudin yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sehingga gagal ditampan kemas penjaga gol skuad Rusa, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Bergson kemudian melebarkan lagi jaringan Harimau Selatan apabila meledak gol kedua pada minit ke- 17 menerusi percubaan dari dalam kotak penalti hasil hantaran belakang Nazmi Faiz Mansor.

Penyerang dari Brazil itu berpeluang mendapatkan jaringan hatrik pada minit ke-23, namun percubaannya terkena tiang.

Skuad Hobin Jang Hobin berhasil mendapatkan jaringan pertama mereka pada minit ke-28 selepas Htet Aung menyempurnakan peluang selepas percubaan Takumi Sasaki diselamatkan pertahanan tuan rumah menjadikan kedudukan 2-1.

Separuh masa kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari jaringan tambahan dengan percubaan demi percubaan dibuat JDT dan Negeri Sembilan.

JDT kemudian memperoleh gol ketiga selepas tandukan Jordi Amat hasil daripada sepakan penjuru melepasi jangkauan Muhamad Aqil menjadikan kedudukan 3-1.

Terdahulu, sebelum perlawanan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyampaikan trofi perlawanan Sumbangsih 2024/25 kepada JDT.

Artikel Berkaitan:

JDT muncul juara Piala Sumbangsih dengan kemenangan 3-0 selepas diberikan kemenangan 'walkover' selepas Selangor FC menarik diri daripada menghadiri perlawanan pembukaan liga yang dijadual berlangsung pada 10 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!