PH tidak tolak isu PSS punca kalah di Kimanis

Dr Wan Azizah berbual bersama pengunjung di gerai makan pada Program Edaran Limau di Pasar Pagi Pandan Jaya dan Pasar Taman Muda, Ampang hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Dr Wan Azizah berbual bersama pengunjung di gerai makan pada Program Edaran Limau di Pasar Pagi Pandan Jaya dan Pasar Taman Muda, Ampang hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

AMPANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak isu perlaksanaan Pas Sementara Sabah (PPS) menjadi penyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.

Beliau berkata, beberapa analisis dibuat bagi mengenal pasti punca kekalahan tersebut antaranya adalah persepsi tentang PSS yang bakal dilaksanakan pada Jun nanti.

"Memang ada cakap pasal PSS itu kita bincang juga, tapi itu masa BN (Barisan Nasional) dan mereka sekarang mengatakan itu kesalahan kita, tidak.

"Kita di peringkat memperbaiki keadaan tapi mungkin mesejnya tidak sampai ke bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Edaran Limau di Pasar Pagi Pandan Jaya dan Pasar Taman Muda di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH menerima pilihan rakyat dan mengambil iktibar daripada kekalahan tersebut dengan memperbaiki keadaan.

"Kemungkinan ada isu-isu yang tersendiri di peringkat Sabah dan Kimanis sendiri. Kita mendengar dan mengambil itu sebagai iktibar apakah petunjuk untuk kita perbaiki keadaan supaya mendapat kembali sokongan rakyat," katanya.

PSS adalah dokumen baharu yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pendatang bagi menggantikan tiga dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Wujud kebimbangan PSS akan menjadikan pendatang mendapat kewarganegaraan Malaysia dan menjadi lebih ramai daripada penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

PRK Kimanis semalam menyaksikan calon Barisan Nasional, Mohamad Alamin memenangi kerusi tersebut menewaskan lawannya, Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan majoriti 2,029 undi.