Thailand-Malaysia akan bekerjasama perkenal Projek ASEAN Drive Tourism

'Projek ASEAN Drive Tourism' adalah bagi meningkatkan pelancongan di sempadan kedua-dua buah negara. - Gambar hiasan
'Projek ASEAN Drive Tourism' adalah bagi meningkatkan pelancongan di sempadan kedua-dua buah negara. - Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Kerajaan Thailand akan bekerjasama dengan Malaysia untuk merangsang sektor pelancongan kedua-dua negara dengan memperkenalkan 'Projek ASEAN Drive Tourism'.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Chai Wacharong berkata, kerajaan sedang menyediakan projek itu dan laluan rintisnya adalah antara Thailand-Malaysia bagi meningkatkan pelancongan antara kedua-dua negara.

"Untuk terus merangsang sektor pelancongan Thailand, Kementerian Pelancongan dan Sukan sedang mempercepatkan pelaksanaan Projek ASEAN Drive Tourism dengan laluan rintisnya antara Thailand dan Malaysia.

"Kedua-dua pihak telah berbincang untuk mewujudkan laluan pelancongan 'self-drive', yang akan dipersembahkan dalam bentuk peta grafik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Chai berkata, Perdana Menteri Srettha Thavisin telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk terus memacu sektor pelancongan, dengan matlamat menjadikan Thailand sebagai Hab Pelancongan mengikut dasar kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan yang besar terhadap pelancong dari negara-negara ASEAN, terutamanya dari Malaysia yang kini berada di kedudukan kedua dalam jumlah pelawat ke Thailand selepas China.

Merujuk data daripada Bahagian Ekonomi Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Sukan, Chai berkata, seramai 1.7 juta pelancong Malaysia telah melawat Thailand dari 1 Januari hingga 12 Mei 2024.

"Langkah pengecualian visa oleh kerajaan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada jumlah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chai menjelaskan lagi bahawa Projek ASEAN Drive Tourism akan mempunyai pelbagai peta yang akan menonjolkan tarikan tempatan yang unik di kawasan sempadan selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia, termasuk kemudahan, penginapan, dan restoran.

Beliau berkata projek ini bertujuan untuk mempromosikan pelancongan 'mesra Muslim' dan pelancongan berkaitan tempat-tempat keagamaan, yang akan dibincangkan lebih lanjut dengan agensi-agensi berkaitan dari kedua-dua negara.

"Kemajuan dalam sektor pelancongan antara Thailand dan Malaysia, yang telah berkembang dalam semua dimensi, adalah hasil nyata daripada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Malaysia pada Oktober 2023," katanya.

Beliau menjangkakan projek ASEAN Drive Tourism ini akan dilancarkan sekitar bulan Julai atau Ogos tahun ini, di pusat pemeriksaan sempadan kedua-dua negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!