Prabowo janji tidak terap kepimpinan ala tentera

Prabowo Subianto
Prabowo Subianto
A
A
A

JAKARTA - Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto berjanji tidak akan menggunakan pendekatan gaya tentera dalam kepimpinannya kelak, dengan menyatakan ia tidak lagi relevan.

"Saya akan menjadi diri saya sendiri dengan ikhlas,” kata Prabowo dipetik portal berita tempatan MetroTVNews ketika menjawab soalan moderator dalam sesi pleno di Forum Ekonomi Qatar di Doha baru-baru ini.

Prabowo, yang merupakan bekas komander pasukan khas tentera dan kini Menteri Pertahanan berkata, beliau telah meninggalkan dunia ketenteraan lebih 25 tahun lepas.

Sebagai seorang pemimpin, beliau berikrar untuk menjunjung prinsip, nilai dan aspirasi seorang patriot dengan berusaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat.

"Rakyat saya mesti selamat, bebas daripada kelaparan dan berhak mendapat kehidupan yang lebih baik,” tegas Prabowo.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum republik itu pada 20 Mac mengumumkan Prabowo dan Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi pemilihan presiden dan naib presiden penggal 2024-2029.

Prabowo bakal menggantikan Presiden Joko Widodo yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: