Kempen Blockout 2024 buktikan kuasa 'follower'

Pengguna media sosial menggunakan kuasa mereka terhadap selebriti yang berada dalam senarai Blockout 2024. Foto Agensi
Pengguna media sosial menggunakan kuasa mereka terhadap selebriti yang berada dalam senarai Blockout 2024. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Pengguna media sosial kini heboh dengan kempen Blockout 2024 ketika petisyen digital pro-Palestin terus menjadi trend sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

Ia bermula sejak acara kontroversi, Met Gala yang berlangsung pada minggu lalu.

Usaha kolektif itu dilancarkan sejumlah pempengaruh TikTok yang turut menggunakan hashtag seperti #letthemeatcake, #celebrityblocklist dan #blockout setelah warganet dengan lantang mengecam selebriti 'A-list' yang menyertai majlis 'mewah' tersebut kerana terus membisu tentang perang genosid.

Ia jauh berbeza dengan respons selebriti yang menghadiri Anugerah Akademi pada Mac lalu apabila sebahagian daripada mereka bertindak memakai pin merah sebagai tanda sokongan terhadap kempen Artist4Ceasefire yang mengutuk kempen pengeboman Israel ke atas Gaza dan menggesa penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung tersebut.

Berikutan sikap tidak peduli golongan itu, kempen Blockout 2024 telah digerakkan dan terus mendapat momentum hingga kini.

Pengguna TikTok, @ladyfromtheoutside turut menggesa warganet melakukan 'digital guillotine' atau 'digitine' yang merujuk kepada peristiwa Permaisuri Marie Antoinette dihukum penggal kepala dengan gilotin setelah disabit bersalah melakukan pengkhianatan terhadap Republik Perancis pada 1793.

Komuniti dalam talian berang dengan tindakan pempengaruh, Haley Bailey yang mengenakan kostum seperti Antoinette kerana tidak cakna dengan krisis kebuluran dialami penduduk Gaza apabila dia dengan selamba berkata, 'let them eat the cake'.

Sebagai respons terhadap tindakan Bailey, @ladyfromtheoutside juga menggesa warganet supaya menyekat pempengaruh, selebriti dan sosialit kaya yang gagal menggunakan sumber mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Kempen Blocklist 2024 itu ternyata mendapat sambutan meluas di seluruh dunia selepas video dikongsi TRT World menunjukkan penurunan ketara jumlah pengikut selebriti yang disenaraikan di media sosial masing-masing.

Senarai itu turut memaparkan nama golongan berprofil tinggi dan menghadiri acara Met Gala tersebut yang diadakan pada malam sama Israel mula melancarkan operasi ketenteraan ke atas Rafah.

Difahamkan, Blocklist 2024 bukan hanya menyasarkan selebriti malah jenama dan rangkaian berita pro-Israel.

Pengguna TikTok seperti @littleyeg antara yang tampil menggesa warganet supaya menyekat selebriti berkenaan sehingga mereka tampil bersuara tentang isu Palestin. - Agensi

Senarai nama selebriti Barat di bawah Kempen Blockout 2024:

>Kim Kardashian, Taylor Swift, Beyonce, Haley Bailey, Kylie Jenner, Zendaya, Miley Cyrus, Selena Gomez, Khloe Kardashian, Ariana Grande, Doja Cat, Demi Lovato, Lizzo, Nicki Minaj, Travis Scott, Kanye West, Katy Perry, Zac Efron, Joe Jonas, Nick Jonas, Kevin Jonas, Justin Timberlake dan ramai lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!