Hadis 40 Imam Nawawi akan diperkenalkan di Tabika Kemas

Asyraf Wajdi (tengah) ketika Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA pada Isnin.
Asyraf Wajdi (tengah) ketika Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi akan diperkenalkan di setiap Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, latihan akan diberikan terlebih dahulu kepada guru dengan melibatkan 4,145 Tabika Kemas di negara ini bermula Jun depan.

Menurutnya, pada masa sama guru di Tabika Kemas juga akan diberikan latihan berhubung Program Tabika Pra Tahfiz pada bulan Jun ini.

"Kita sekalikan pemberian latihan mengenai Program Tabika Pra Tahfiz dan Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi itu bermula bulan Jun ini. Ada 10,840 Tabika Kemas di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,145 Tabika Kemas akan bermula terlebih dahulu (dua program tersebut) pada tahun ini di mana setiap seorang guru di Tabika berkenaan akan diberikan latihan.

"Program ini sudah dimulakan di peringkat Kementerian Pendidikan. Jadi Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhasrat ingin mengambil semangat daripada inisiatif Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bukan sahaja melaksanakan (Hadis 40 Imam al-Nawawi) di peringkat sekolah rendah tetapi dimulakan di peringkat Tadika.

"Dengan adanya buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi, maka ia mudah diajar dan difahami oleh sesiapa sahaja dalam konteks pemahaman Hadis 40 sekali gus boleh dijadikan sebahagian daripada program pendidikan di peringkat Tabika Kemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Asyraf Wajdi (tengah) ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA pada Isnin.
Asyraf Wajdi (tengah) ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA pada Isnin.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi mula dilaksanakan di semua institusi pendidikan pada Sesi Persekolahan 2024/2025 bagi memartabatkan syiar Islam.

KPM memaklumkan aktiviti itu diperluaskan di semua institusi pendidikan termasuk di sekolah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kolej Vokasional dan Kolej Matrikulasi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, buku Hadis 40 Imam Al-Nawawi mempunyai bahasa yang mudah serta setiap hadis berkenaan memiliki pengajarannya.

Beliau menyatakan ia juga merangkumi aspek pembinaan peribadi, sahsiah dan akhlak yang menjadi asas penting bagi setiap individu dalam memahami Islam itu sendiri.

"Ini bagi memastikan tidak berlakunya pemikiran ekstrem, dangkal selain memastikan ia berpaksikan kepada sumber atau asas Islam yang sebenar," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!