Status bukan penghalang

Sarimah banyak meluangkan masa bersama Nadia Brian (kiri), Hanna Delisha dan Sophia Albakrabah bagi menghidupkan watak mereka lebih berkesan.
Sarimah banyak meluangkan masa bersama Nadia Brian (kiri), Hanna Delisha dan Sophia Albakrabah bagi menghidupkan watak mereka lebih berkesan.
A
A
A

KELIBAT figura ini dalam lapangan seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah, tidak keterlaluan untuk melabelkan wanita berdarah kacukan Irish-Melayu itu sebagai selebriti versatil.

Meskipun pernah hilang seketika dari radar, nama Che Puan Sarimah Ibrahim pantas melonjak naik apabila membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi drama hit, Lelaki Itu.

Ternyata keputusan kembali aktif mendapat restu bukan sahaja daripada suami tercinta, tetapi peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula beliau dalam arena lakonan.

Menjawab kehilangannya selama ini, wanita berusia 45 tahun itu menjelaskan, beliau sama sekali tidak pernah mengundur diri dari dunia seni.

Che Puan Sarimah
Che Puan Sarimah

"Selepas aktif dengan Akademi Fantasia sekitar tahun 2009 dan 2010, saya telah dilamar untuk menjadi penyampai radio Red FM, selama dua tahun dan diikuti Mix FM.

"Secara tidak langsung membuatkan saya berpindah aliran dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Selepas berkahwin dan bergelar ibu pada tahun 2018, saya ada merancang untuk kembali aktif, tetapi pandemik Covid-19 pula melanda," ujar Sarimah memulakan perbualan.

Namun 'kehilangan' itu sebenarnya membuka ruang kepada penyanyi yang hits menerusi lagu Kini Kau Tiada untuk menceburi sesuatu yang lebih bermanfaat sebelum cinta yang mendalam terhadap industri seni membawa beliau untuk kembali aktif.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pada sibuk dengan memberi kesedaran mengenai kesihatan mental, saya diberi peluang untuk menjadi pengacara dan penyampai anugerah beberapa acara besar, sehinggalah membawa saya bertemu semula dengan penerbit Lelaki Itu iaitu Erma Fatima.

"Siapa sangka bermula sekadar gurauan, dua bulan selepas pertemuan kami, Erma datang membawa skrip Lelaki Itu dan menawarkan watak Sharifah Qaida kepada saya," jelas Sarimah ketika ditemui pada majlis makan tengah hari dan ramah mesra bersama media di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Biarpun ada yang mempertikaikan keperluannya untuk kembali aktif selepas menjadi sebahagian keluarga Diraja, isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu mempunyai pandangan tersendiri.

Tegas bonda kepada Tunku Sofia Najihah, 6, kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu perlu dipisahkan sebaiknya.

"Apa-apa yang saya buat untuk kerjaya adalah tanggungan saya. Suami saya sudah cukup menjadi ketua keluarga, menyara keperluan keluarga.

"Setiap duit yang saya dapat apabila bekerja, saya laburkan semula seperti sertai kelas lakonan.

"Lagipun suami memahami dan menyokong apa sahaja yang saya mahu lakukan. Sebagai isteri dan ibu, saya tahu batas dalam bekerja," tuturnya.

Bahkan beliau berpendapat, seseorang wanita itu tidak seharusnya mengambil kesempatan dalam perkahwinan.

"Ini hanya pendapat saya. Kita harus buang stigma bila kahwin dengan orang kaya, maka boleh duduk rumah goyang kaki sahaja.

"Saya memang tidak betah duduk diam dan suka bekerja. Lagipun, bila mahu beli sesuatu, hadiah suami contohnya takkan beli guna duit dia dan kemudian hadiahkan semula padanya," ujarnya sambil ketawa mesra.

Pelaburan

Bukan hanya tidak menggunakan duit suami untuk aktif dalam dunia seni, Sarimah juga sama sekali tidak menggunakan pengaruh atau statusnya untuk mendapat tawaran.

Malah, tempoh senggang yang dimiliki sebelum ini digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu dengan menyertai kelas lakonan secara peribadi bersama jurulatih filem antarabangsa, Gerry Grennell.

"Ketika tempoh pandemik, saya fikir daripada tak buat apa-apa, baik saya sertai kelas lakonan dan terfikir untuk mendapat tunjuk ajar daripada Grennell. Lagipun, beliau ada kredibiliti dan rekod melatih ramai nama besar termasuk Tom Cruise, Natalie Portman dan mendiang Heath Ledger.

"Tidak dinafikan, bayaran bukan murah, tetapi disebabkan beliau berasal sama negara dengan ibu saya, jadi saya mendapat harga pakej. Kalau nak ikutkan harga sebenar dalam mata wang Euro, memang saya tidak mampu," katanya.

Ilmu yang ditimba itu telah diaplikasikan dalam drama Lelaki Itu dan meskipun mengakui harga yang dibayar tidak setimpal, tetapi hasil yang diterima menjadi sesuatu yang cukup berharga buatnya.

"Ada yang beritahu saya, watak Qaida itu mengingatkan beliau pada ibunya. Tidak kurang juga yang mengakui mengambil tahu hal faraid sebaik menonton drama itu.

"Saya tidak kisah seandainya watak tersebut akan lebih diingati selepas ini. Itu penghargaan dan alhamdulillah saya berjaya menghidupkannya," jelas Sarimah yang akan membintang drama bersiri 40 episod bersama Zamarul Hisyam selepas ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!