Perhimpunan Agung Bersatu pada 25 hingga 28 Jun depan

Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Al Bukhary malam ini.
Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Al Bukhary malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung parti pada 25 hingga 28 Jun depan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, di peringkat cawangan, persidangan dan pemilihan akan diadakan bermula pada 15 Februari dan akan berakhir pada 29 Mac, manakala di peringkat bahagian pula pada 18 April.

"Jumlah bahagian yang layak bersidang ialah seramai 189 bahagian dan jumlah ahli yang berdaftar serta layak mengambil bahagian dalam persidangan di peringkat cawangan ialah seramai 363,167 ahli.

"Kita sudah laksanakan pemutihan sebab itu jumlah ini (363,167) nampak kecil. (Sebab pemutihan) ialah lambat mendaftar, lambat melaporkan kepada ibu pejabat, tak bayar yuran dan ini (adalah) normal," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Al Bukhary di sini malam ini.

Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan pemimpin tertinggi parti Bersatu.

Mengulas mengenai tindakan disiplin parti itu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, tidak ada keputusan yang diambil pada mesyuarat hari ini.

"Kita kena tunggu dan kita tidak boleh menghukum sehingga Adhif Syan didapati bersalah dan menyerahkan perkara itu kepada keputusan mahkamah (jika dibicarakan) terlebih dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adhif Shan ditahan polis bersama 16 yang lain dalam serbuan terhadap sebuah unit kondominium dekat Jalan Puchong yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah dan judi baru baru ini.