[VIDEO] ‘Hajat terakhir papa nak main layang-layang dengan cucu’

A
A
A

KUALA LUMPUR – Allahyarham penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 76, pernah menyuarakan hasrat untuk beriadah bersama cucu-cucunya namun hajat itu tidak sempat ditunaikan sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin.

“Hajat papa nak main layang-layang dengan cucu-cucu, kali terakhir papa main layang-layang bersama cucunya tahun lepas, baru-baru ini dia ada suarakan hasrat itu pada kami.

“Kami cakap kalau papa sihat bolehlah kita pergi,” kata anak ketiga Hail, Cinta Shafiana, 34.

Menurut Shafiana, kesihatan bapanya merosot sejak beberapa bulan yang lalu serta tidak berselera untuk makan.

“Tapi hari raya tahun ini dia nampak bersemangat, dia balik Pulau Pinang meskipun (berjalan) pakai tongkat,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini pada Selasa.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Ukay Perdana pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad Aiman Farhan, Cinta Shafiana)
Jenazah disembahyangkan di Masjid Ukay Perdana pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad Aiman Farhan, Cinta Shafiana)

Shafiana berkata, bapanya tidak mahu kisahnya dirawat di hospital sampai kepada pengetahuan pemberita kerana mahu berehat dan buat pemeriksaan terlebih dahulu.

“Mula-mula ingat papa batuk biasa sahaja, kalau perlu diuarkan-uarkan ahli keluarga akan maklumkan pada media,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menantu Hail, Muhammad Aiman Farhan Murza, 34, berkata bapa mentuanya itu gemar mengajak anak-anak keluar makan.

“Dia ajak keluar makan, tapi dia tak makan... memang itu cara dia habiskan masa bersama keluarga,” katanya.

Terdahulu, jenazah Hail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, pada jam 11 pagi Selasa.

Pengebumian itu berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga saudara terdekat serta kenalan Allahyarham.

Turut kelihatan di tanah perkuburan antaranya pengarah Datuk Yusof Haslam; penyanyi, Yusni Hamid, Datuk DJ Dave, pelakon, Abon dan ramai rakan seperjuangan Allahyarham pada era 70-an.

Jenazah tiba di tanah perkuburan itu pada 10.45 pagi selepas disolatkan di Masjid Ukay Perdana.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada paru-paru pukul 3.40 petang pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!