Kes pemerasan RM1.25 juta: Reman lima polis disambung esok

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh reman terhadap lima pegawai dan anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan dakwaan kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta, akan disambung berikutan akan tamat esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemuanya yang berusia antara 38 hingga 50 tahun itu telah direman empat hari bermula Sabtu lepas.

"Kita akan sambung reman terhadap mereka esok untuk siasatan lanjut," katanya ringkas kepada Bernama semasa ditemui di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Razarudin turut mengesahkan penahanan seorang lagi pegawai polis berhubung kes itu, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kepada enam individu setakat ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran tangkapan baharu itu.

Pada Jumaat lepas, Razarudin memaklumkan, tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintenden (DSP) dan Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.

Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!