PM Azerbaijan terima kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Negara Malaysia

Perdana Menteri Azerbaijan menerima kunjungan hormat Mutang bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. Foto Azertac
Perdana Menteri Azerbaijan menerima kunjungan hormat Mutang bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. Foto Azertac
A
A
A

BAKU - Perdana Menteri Azerbaijan, Ali Asadov menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Negara Malaysia, Datuk Mutang Tagal bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Semasa pertemuan itu, Asadov dan Mutang berbincang mengenai peningkatan dalam jalinan perhubungan persahabatan antara Baku dan Kuala Lumpur, menurut agensi berita kerajaan Azerbaijan, Azertac.

Perbincangan berkisar mengenai prospek untuk mengembangkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam perdagangan, ekonomi, pelaburan, tenaga, kemanusiaan dan bidang-bidang lain.

Mereka juga memuji kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam kerangka pertubuhan antarabangsa, termasuk Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), katanya.

Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik tahap kerjasama semasa antara Parlimen Azerbaijan dan Malaysia.

Asadov juga mengalu-alukan penyertaan Mutang dalam Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya Keenam yang berlangsung di sini dari 1 hingga 3 Mei. - Bernama-Azertac

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: