Kasino di Forest City: Pemfitnah perlu dihukum penjara, tegas Anwar

Anwar berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak yang memfitnah kerajaan berikutan dakwaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor patut dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak yang cuba bertindak mencetuskan isu berkenaan sebenarnya tiada modal lain untuk memburukkan kerajaan.

“Tiada modal lain, kononnya Anwar sudah meluluskan kasino di Johor. Apa benda ini? Tidak pernah saya dengar, tidak pernah orang usulkan.

“Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tidak pernah memaklumkan kepada saya tentang minat mahu adakan perjudian di sana.

“Dari mana (tohmahan) ini? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini yang sepatutnya ganti bilik saya di (penjara) Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Seri Dr Adnan Mat dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tidak menjadi kesalahan jika ada pihak yang mahu menghamburkan kata-kata kritikan kepadanya, namun bukan kepada institusi raja-raja Melayu.

“Kritik tidak mengapa, kamu singgung (sentuh) Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab. Ini kamu singgung Raja-Raja yang kita sanjung dan muliakan serta ada dalam Perlembagaan.

"Kalau kita ada sistem raja, tidak boleh dijadikan macam orang politik, serang sesuka hati. Tidak boleh kerana institusi raja itu ada caranya. Cara bercakap lain, ada cara kaedah yang perlu kita hormati," ujar beliau.

Susulan itu, beliau menegaskan, jika ada pihak yang menyerang dengan memfitnah institusi raja, maka jawapannya ialah pendakwaan, hukuman serta penjara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!