Fungsi Jakim, Kementerian Perpaduan berbeza - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menegaskan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut beliau, Jakim mempunyai misi untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah.

Mohd Na'im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali lagi ingin memberikan penjelasan bahawa secara keseluruhannya untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun ini.

"Peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

"Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Secara amnya, beliau berkata, Jakim telah diperuntukkan sejumlah RM730 juta kepada guru kelas agama Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan imam yang dilantik di seluruh negara yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.

"Bagi pengoperasian semasa Jakim pula, sebanyak RM249 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.

"Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi lain-lain agensi di bawah Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, jabatan ini diberi peruntukan sebanyak RM374 juta bertujuan memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

"Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan.

"Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia," katanya.

Tambah Mohd Na'im, peruntukan yang telah diberikan kepada jabatan itu adalah bermatlamatkan untuk membangun Malaysia Madani yang menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi sekali gus memberikan manfaat kepada negara.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail bahawa Kementerian Perpaduan Negara berhak mendapat peruntukan yang sama atau lebih besar daripada yang diberikan kepada Jakim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!