Garuda Muda buru status ketiga terbaik Asia

Skuad B-23 Indonesia di Piala Asia B23 Qatar 2024. Foto Agensi (Gambar kecil: Tae-yong)
Skuad B-23 Indonesia di Piala Asia B23 Qatar 2024. Foto Agensi (Gambar kecil: Tae-yong)
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun Indonesia, Shin Tae-yong memuji persembahan Garuda Muda biarpun tewas 0-2 kepada pasukan pilihan Uzbekistan dalam perlawanan separuh akhir Piala Asia B-23 Qatar 2024.

Biarpun begitu Tae-yong akui skuad mudanya sedikit gugup di separuh akhir berbanding perlawanan sebelum ini sehingga gagal untuk mempamerkan persembahan sebenar berdepan Uzbekistan.

"Pertama, saya menghargai usaha yang dimainkan setiap anggota pasukan kami, begitu juga dengan Uzbekistan yang jauh lebih kuat, selamat maju jaya buat pasukan Uzbekistan.

"Namun begitu terdapat beberapa perkara yang agak malang berlaku dalam perlawanan, tetapi saya tidak akan menyebutnya di sini," kata bekas jurulatih pasukan Korea Selatan itu.

Impian Garuda Muda untuk ke perlawanan akhir temasya itu apabila disekat Uzbekistan dalam aksi separuh akhir di Stadium Abdullah bin Khalifa, Qatar pada Selasa.

Skuad pelapis Serigala Putih kendalian Timur Kapadze yang menyingkirkan penyandang juara Arab Saudi di suku akhir ternyata menguasai rentak sejak awal perlawanan, namun gagal terjemahkan peluang dalam bentuk jaringan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, anak buah Tae-yong tampil lebih garang apabila Muhammad Ferarri meledak gol pembukaan minit ke-61 bagi meletakkan pasukannya di depan.

Namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Ramadhan Sananta dikesan berada dalam situasi ofsaid sebelum jaringan Muhammad Ferarri.

Artikel Berkaitan:

Uzbekistan yang berstatus juara edisi 2018 yang masih menguasai permainan kemudian menjelmakan jaringan hasil cetusan minit ke-68, Husain Norchaev selepas menterjemahkan hantaran Muhammadqodir Hamraliev menewaskan Ernando Ari.

Skuad pelapis Serigala Putih itu kemudian meningkatkan intensiti serangan berjaya melebarkan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain skuad Garuda Muda, Pratama Arhan pada minit ke-86.

Hasrat anak buah Tae-yong untuk bangkit memberikan saingan berakhir apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten yang juga tonggak pertahanan Rizky Ridho dilayangkan kad merah pada minit ke-83.

Dalam pada itu, Tae-yong menegaskan misi skuad Garuda Muda dalam Piala Asia B-23 Qatar 2024 belum berakhir bagi penentuan tempat ketiga keempat temasya berkenaan.

"Kami masih berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. Kami akan membuat persediaan secara optimum bagi perlawanan penentuan ketiga keempat," katanya.

Sebagai rekod, Indonesia akan berdepan Iraq bagi perlawanan penentuan ketiga selepas angkatan Radhi Shenaishil itu tewas 0-2 kepada Jepun kendalian

Go Oiwa dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Jassim Bin Hamad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!