Persiapan Tahun Baru Cina musnah

Seorang pegawai bomba memeriksa keadaan rumah Tai Seek yang hangus dalam kebakaran di Taman Ria Jaya hari ini. Gambar kecil: Lim Tai Seek
Seorang pegawai bomba memeriksa keadaan rumah Tai Seek yang hangus dalam kebakaran di Taman Ria Jaya hari ini. Gambar kecil: Lim Tai Seek
A
A
A

SUNGAI PETANI - Persiapan menyambut Tahun Baru Cina sebuah keluarga di sini musnah apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Ria Jaya kira-kira jam 12.17 tengah hari tadi.

Lim Tai Seek, 74, berkata, dia tidak menyangka rumah yang baharu ditinggalkan kira-kira 10 minit itu hanya tinggal rangka.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan dan mengetahuinya selepas diberitahu seorang rakan.

"Saya pergi ke kedai makan dengan berjalan kaki, belum sempat suap makanan ada seorang kawan beritahu rumah terbakar, terus dia bawa saya balik," katanya.

Tai Seek berkata, ketika sampai di rumahnya dia lihat api sedang marak dan cuba masuk namun dihalang jiran-jiran.

"Saya sedih sangat tengok rumah begini, bagaimana kami nak sambut raya tahun ini. Semuanya sudah terbakar," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, anaknya, Lim Kok Huat, 51, yang bekerja sebagai tukang paip berkata, Tahun Baru Cina tahun ini disambut suram.

Menurutnya, rumah yang diduduki sejak 30 tahun lalu bersama enam ahli keluarga lain termasuk adik dan anak-anak musnah sekelip mata.

Artikel Berkaitan:

"Saya keluar bekerja, ayah pun keluar, jadi tiada sesiapa di rumah. Saya bergegas balik setelah diberitahu rumah kami terbakar.

"Kami ada beli persiapan sikit-sikit untuk Tahun Baru Cina tetapi semuanya habis musnah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Sungai Petani, Pegawai Bomba Tinggi Anwarzaini Zakaria berkata, sebanyak tiga buah rumah terjejas dalam kejadian kebakaran di Taman Ria Jaya hari ini.

Menurutnya, sebuah rumah terbakar 80 peratus, rumah kedua 20 peratus dan sebuah rumah lagi terbakar 10 peratus.

"Operasi memadam kebakaran disertai pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Amanjaya selain bantuan dari pasukan bomba sukarela," katanya.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.30 dan operasi tamat pada jam 2.20 petang.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.