Jangan jauhi al-Quran, titah Sultan Sallehuddin

Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan hadiah kemenangan kepada johan qari peringkat negeri Kedah malam tadi.
Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan hadiah kemenangan kepada johan qari peringkat negeri Kedah malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak menjauhi al-Quran atau meninggalkan ajaran kitab suci itu.

Baginda bertitah, tindakan sedemikian hanya menyebabkan manusia hilang arah serta terjerumus ke lembah hina termasuk aspek perpaduan akan semakin menipis serta pandangan terhadap perkara kebajikan menjadi kabur.

Sultan Sallehuddin bertitah, umat Islam dituntut untuk membaca, mengkaji, memahami dan beramal dengan isi kandungan al-Quran kerana ia sebahagian tanggungjawab seorang Muslim.

“Al-Quran itu sebenarnya menjelaskan keluhuran akidah yang sahih dan memperbetulkan pemikiran manusia dari doktrin songsang. Al-Quran juga telah menetapkan kemuliaan dan hak-hak manusia agar kehidupan mereka dipenuhi kesejahteraan,” titah baginda ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat negeri Kedah malam tadi.

Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sultan Sallehuddin turut menyeru umat Islam agar tetap setia dengan prinsip ajaran al-Quran yang mampu bertindak sebagai penawar kepada pelbagai penyakit termasuk penyakit hati.

"Semailah ilmu al-Quran dalam dada masyarakat Islam, nescaya ALLAH SWT akan mencabut kejahilan dan menyelamatkan kita dari bahana fitnah akhir zaman yang sungguh dahsyat," titah baginda.

Baginda bertitah, golongan yang mengamalkan ajaran al-Quran sangat beruntung kerana kitab suci ini adalah sumber yang mencurahkan kebaikan dan ilmu ke dalam hati orang-orang beriman, dan menjadi medium terbaik mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

“Al-Quran mengajak manusia menuju ke arah pembersihan jiwa menyeluruh agar segala sifat mazmumah diusir dari tubuh yang dahagakan rahmat Ilahi. Dengan ini dapatlah dibentuk masyarakat Muslim yang mempunyai budi pekerti tinggi dan terpuji,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, al-Quran merupakan perlembagaan hidup manusia yang mengandungi petunjuk dan ikutan sepanjang zaman dan merupakan rahmat paling besar buat manusia.

Baginda turut sukacita sekiranya tradisi kecemerlangan bidang al-Quran dalam kalangan rakyat negeri Kedah diteruskan dan diperhebatkan lagi pada masa akan datang.

"Majlis ini adalah wadah terbaik memupuk semangat membudayakan al-Quran dalam kehidupan dan secara tidak langsung menyemarakkan syiar Islam. Majlis ini juga sesuai untuk mendekatkan masyarakat pelbagai lapisan dengan al-Quran,” titah baginda.

Baginda turut bangga dengan pencapaian negeri ini yang terkenal dalam bidang tilawah al-Quran dalam melahirkan qari dan qariah bertepatan dengan sejarah Kedah sebagai negeri yang memiliki tamadun ilmu dan ulama masyhur.