Malaysia perlu berani menentang Denmark

Soh Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia. Foto Bernama
Soh Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia. Foto Bernama
A
A
A

HANYA kemenangan menentang Denmark, kuasa besar badminton dunia, dalam aksi penting Kumpulan D Piala Thomas 2024 esok akan membawa Malaysia mendahului carta kedudukan dan membuka laluan lebih mudah dalam undian suku akhir.

Kapten pasukan dan pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik bersepakat dengan rakan sepasukanya untuk kekal yakin apabila menentang lawan seterusnya pada kejohanan berpasukan badminton paling berprestij dunia itu di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu.

"Pastinya perlawanan yang sukar dan kami harus bersedia sepenuhnya untuk esok.

"Saya mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan mata dan akan mencuba yang terbaik buat Malaysia," katanya kepada media Malaysia di sini.

Menjangkakan pertembungan dengan gandingan nombor empat dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Wooi Yik bertekad bahawa beliau dan pasangannya Aaron Chia, akan berusaha 100 peratus untuk mengatasi lawan mereka.

Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod yang cukup baik menentang Astrup-Rasmussen dengan memperoleh enam kemenangan dalam sembilan pertemuan setakat ini.

Walaupun Malaysia kelihatan lebih stabil dalam acara beregu, pemain profesional negara Lee Zii Jia akan menjadi penentu untuk meraih mata bagi kem perseorangan lelaki yang agak goyah.

Bagaimanapun, cabaran getir menanti beliau kerana berkemungkinan berhadapan dengan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen pada perlawanan pembukaan.

Artikel Berkaitan:

Axelsen telah memenangi lima perlawanan, manakala Zii Jia muncul juara sebanyak tiga kali berdasarkan lapan pertemuan mereka sebelum ini.

Zii Jia yang sedang bersiap sedia menentang Axelsen, juga meletakkan kepercayaan kepada rakan sepasukannya untuk bersinar melawan pasukan Denmark.

"Segala-galanya mungkin kini, tetapi yang penting saya percaya dengan rakan sepasukan," katanya.

Dalam pada itu, Axelsen enggan terlalu memikirkan pertarungan menentang pemain nombor 10 dunia Zii Jia, kerana saingan dengan Malaysia pastinya sengit.

Rakan sepasukannya dan perseorangan ketiga Rasmus Gemke akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Denmark mengatasi Malaysia dan menjadi juara Kumpulan D.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Denmark menumpaskan Malaysia 3-2 pada aksi final Kumpulan D Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand.

Malaysia memulakan kempen Piala Thomas 2024 penuh bergaya dengan kemenangan 5-0 masing-masing menentang Hong Kong pada Sabtu dan Algeria semalam.

Denmark turut mengikut langkah serupa setelah berjaya menumbangkan Algeria pada Sabtu dan Hong Kong semalam dengan jumlah mata yang sama.

Kejohanan Piala Thomas berlangsung hingga 5 Mei ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!