X

Kindly register in order to view this article
!

'Ibu bapa boleh guna kerusi keselamatan sedia ada'

Anthony menunjukkan penggunaan CRS yang telah berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
A
A

TAPAH - Kerajaan mengambil langkah praktikal untuk membenarkan ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang sedia ada sebelum penguatkuasaan dilaksanakan awal tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak mahu membebankan pengguna berhubung garis panduan mengenai ciri-ciri CRS yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Jika kita haramkan semua yang telah beli tanpa sijil, ini akan membebankan. Jadi, kita mengambil pendekatan lebih praktikal iaitu apa-apa produk dijual di pasaran sebelum ini kita benarkan penggunaannya.

“Selepas 1 Januari, produk-produk yang memasuki pasaran mestilah memenuhi piawaian. Kita nak jelaskan kepada orang ramai bahawa jangan bimbang sebab banyak persoalan telah ditimbulkan ibu bapa ada yang sudah beli CRS tidak mengikut piawaian jadi mereka boleh gunakan.

“Bagaimanapun kita nasihatkan kepada pengguna untuk mematuhi garis panduan ditetapkan dengan semak pelekat atau kod QR yang dipaparkan setiap kerusi sebelum membeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Mohd Nasri Ishak dan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan penjualan CRS itu adalah mengikut piawaian di peringkat pembekalan.

“Tindakan penguatkuasaan adalah di bawah KPDNHEP mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan dan Akta Perihal Dagangan 2011 kepada syarikat pembekal agar mengikuti piawaian itu.

“Tindakan akan diambil sekiranya syarikat pembekal tidak ikut piawaian. Kementerian Pengangkutan pula hanya menguatkuasakan dari segi pemakaian CRS itu kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Anthony melihat kerusi keselamatan kanak-kanak yang dipamerkan pada Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah hari ini.
Anthony melihat kerusi keselamatan kanak-kanak yang dipamerkan pada Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah hari ini.

Anthony berkata, pihaknya turut menggalakkan kepada pengangkutan awam atau syarikat perkhidmatan e-hailing menyediakan CRS kepada pengguna cilik.

“Perkara ini bukanlah mandatori, ia dikecualikan kerana penggunaan CRS tertakluk kepada kenderaan persendirian sahaja.

“Namun, secara positifnya ia memberi nilai tambah kepada perkhidmatan mereka. Saya menggalakkan pengendali pengangkutan awam menyediakan perkhidmatan itu kepada pengguna,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian pada 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

Oktober lalu, Pegawai Penyelidik Miros menggariskan kerusi keselamatan kanak-kanak yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!