BN pertaruhkan bekas pegawai kanan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor, 61, diumumkan sebagai calon BN yang akan bertanding pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Pengumuman dibuat pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, wakil MCA serta kepimpinan parti komponen lain.

Menurut Mohamad Hassan, pemilihan Ramli dibuat selepas melakukan rundingan dengan semua parti dalam komponen BN itu.

Katanya lagi, BN perlu mengambil pendekatan lebih berkesan selepas mengalami kekalahan dalam empat PRK sebelum ini dan memastikan kemenangan bagi kerusi Cameron Highlands dipertahankan.

"Sebelum ini pendekatan yang kita gunakan adalah parti yang akan mendokong calon, namun suasana (politik) hari ini telah berbeza dengan segala tohmahan dan fitnah yang dilakukan (ke atas BN).

"Jadi atas sebab itu kita memutuskan untuk meletakkan Ramli yang merupakan anak tempatan kerana calon akan mendokong parti selepas ini," katanya.

Katanya lagi, calon yang boleh diterima rakyat dan dipercayai pengundi antara perkara yang diambil kira supaya BN dapat mengekalkan kemenangan di kerusi itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"BN hari ini keluar daripada kebiasaan iaitu meletakkan calon bukan ahli parti.

"Bukan sebab kita tidak percaya kepada MIC yang menjadi kerusi tradisi parti komponen itu, tetapi dalam suasana politik ketika ini adalah lebih baik kita meletakkan calon yang hanya membawa nama BN,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Hassan turut berterima kasih kepada Pas yang telah memilih untuk tidak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

Ditanya sama BN akan mendapat sokongan Pas, Mohamad memberitahu kehadiran pemimpinan utama parti itu dalam majlis pengumuman calon BN telah menunjukkan sokongan mereka.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Januari ini sebagai tarikh penamaan calon.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands hilang kelayakan ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: 'Peluang BN menang cerah jika...' ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kayveas sah rebut Parlimen Cameron Highlands ]