Warga emas dibaling sambal tumis sebelum disamun

Gambar tular, seorang warga emas mengalami kecederaan selepas disamun di rumahnya di Jalan Datuk Nawar, Kampung Ayer Tawar, Merlimau pada Rabu.
Gambar tular, seorang warga emas mengalami kecederaan selepas disamun di rumahnya di Jalan Datuk Nawar, Kampung Ayer Tawar, Merlimau pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Seorang warga emas terpaksa menahan kesakitan apabila mukanya dibaling sambal tumis dan ditampar dalam kejadian samun di Jalan Datuk Nawar, Kampung Ayer Tawar, Merlimau di sini pada Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 9.30 pagi, mangsa berusia 61 tahun sedang baring berdekatan pintu belakang rumahnya sebelum didatangi suspek berusia lingkungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, hasil siasatan awal mangsa yang tidak mengenali suspek telah dibaling cecair disyaki sambal tumis ke muka sebelum suspek bertindak agresif lalu menampar dan menghentak mangsa dengan kerusi plastik lebih dua kali.

Menurutnya, mangsa cuba menahan kesakitan yang dialami dan disebabkan hentakan itu dia mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Mangsa memaklumkan dia cuba meminta pertolongan orang awam, namun tiada siapa yang datang.

"Suspek telah mengambil beg sandang mangsa yang mengandungi dompet serta wang tunai RM400, kad bank dan lesen memandu sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, tular gambar mangsa sedang mendapatkan rawatan awal oleh pasukan paramedik selain nota suara di aplikasi WhatsApp yang meminta orang ramai supaya berhati-hati selepas berlaku kejadian samun di kampung itu.

Tambah Ahmad Jamil, mangsa sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan dan mengalami kesukaran untuk berjalan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang digambarkan bertubuh gempal dan ketika kejadian dia memakai topi keledar dan pelitup mula," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!