Dua lelaki, seorang wanita ditahan kes samun warga asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki menyamun tiga lelaki warga Myanmar sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian di Bahau pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 17 hingga 22 tahun itu ditangkap di kawasan Bahau dan Bandar Seri Jempol pada Isnin dan Selasa lalu, antara jam 2 hingga 6 petang.

"Berdasarkan siasatan, mangsa berusia 20 hingga 28 tahun itu disamun empat suspek di sebuah taman perumahan rumah murah di Bahau dan mengalami kerugian berjumlah RM1,400.

"Bertindak atas maklumat dan siasatan pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang perempuan, sementara seorang lagi suspek masih bebas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, hasil siasatan awal terhadap suspek, mereka mengaku melakukan kegiatan samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di bahagian tangan, perut dan muka.

"Polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, iaitu Inspektor R Raj Kumar di talian 06-4582222 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!