Dakwaan hubungan PH-BN retak, Fahmi minta Sanusi diam

Fahmi ketika sidang media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PERKESO dan Finas hari ini. Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PERKESO dan Finas hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendiamkan diri daripada memberi sebarang komen mengenai masalah di negeri lain, sebaliknya fokus kepada negeri jelapang padi itu.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhammad Sanusi semalam bahawa Perikatan Nasional (PN) akan ‘pecahkan lagi’ keretakan dalam hubungan antara MCA dengan PH.

"Saya rasa daripada dia sibuk tentang negeri lain, sibukkan diri dia untuk menyiapkan pelbagai projek yang telah diumumkan di Kedah sama ada Widad Group atau litar.

"Dia ini sembang banyak, siap tak banyak.

"Berbeza dengan Menteri Besar Selangor, umum dan kita lunaskan.

"Menteri Besar Kedah ni dah la dia ada kes hasutan melibatkan Sultan Selangor, jadi saya rasa diam jelah Sanusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini hari ini.

Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada gabungan itu.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lepas, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, MIC turut membuat keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian pada 11 Mei.

Mengulas mengenai pembatalan projek lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link), Fahmi meminta semua pihak termasuk Khairy Jamaluddin merujuk kenyataan Jabatan Kerja Raya jika mahukan maklumat mengenai perkara itu.

"Dia kena baca sekali dengan kenyataan (Jabatan) Kerja Raya. Saya dah sebut dalam sidang media sebelum ini selepas mesyuarat Kabinet bahawa akan ada kenyataan susulan daripada Kementerian Kerja Raya dan JKR telahpun keluarkan kenyataan,” katanya.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kritikan bekas Menteri Kesihatan itu yang dilaporkan mendakwa bahawa beliau tidak memiliki kepakaran untuk menjawab soalan mengenai projek PJD Link dan pembatalannya.

Pada 17 April lepas, beliau mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan projek itu selepas syarikat konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan oleh Putrajaya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!