Lebih 10 along muncul minta bayar hutang bapa

Jia Tao (kiri) dan Meng Haw menunjukkan salinan laporan polis dibuat terhadap along yang melakukan ugutan di Pejabat ADUN Johor Jaya, Johor Bahru pada Selasa.
Jia Tao (kiri) dan Meng Haw menunjukkan salinan laporan polis dibuat terhadap along yang melakukan ugutan di Pejabat ADUN Johor Jaya, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik sebuah bengkel terkejut selepas 10 tahun terputus hubungan dengan bapanya, tiba-tiba lebih 10 along mencari dan mengugutnya untuk melangsaikan semua hutang bapanya itu.

Samson Loo Jia Tao, 24, yang tinggal di Taman Sierra Perdana di sini berkata, ugutan tersebut diterima sejak dua minggu lalu sehingga kini menggunakan beberapa nombor telefon yang memaksanya supaya membayar semua pinjaman bapanya.

"Sejak dua minggu ini, dalam sehari saya menerima kira-kira 30 panggilan dan hantaran mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada along yang mengugut saya dan keluarga supaya membayar hutang.

"Setakat ini along berkenaan masih belum bertindak dan sekadar memberi ugutan akan datang ke rumah saya dan bengkel di Taman Mount Austin untuk buat kacau. Saya bimbang kerana tinggal bersama ibu, 55, dan abang, 26, di rumah. Abang saya pula bekerja dan kerap berulang alik ke Pulau Pinang dalam seminggu.

"Saya tidak tahu berapa jumlah semua hutang bapa tetapi dianggarkan lebih RM100,000," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadu perkara itu kepada Pegawai Aduan dan Perkhidmatan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Michael Mok Meng Haw di Taman Johor Jaya di sini pada Selasa.

Jia Tao berkata, ugutan along berkenaan bukan setakat menghubunginya atau menghantar mesej sahaja tetapi turut menyunting gambar miliknya dan muat naik dalam Facebook bertujuan memalukannya.

Dia yang masih bujang mengakui tertekan dengan perbuatan tersebut kerana boleh mencemarkan reputasinya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Khamis.

Walaupun menerima ugutan dan tekanan tersebut, dia menegaskan kepada kumpulan along berkenaan tidak akan membayar hutang bapanya kerana tiada kaitan lagi dengan lelaki tersebut sejak bapanya, 53, berkahwin baharu.

Artikel Berkaitan:

Jia Tao mendakwa, bapanya meninggalkannya ketika dia berusia sembilan tahun bersama ibu dan abangnya di Shah Alam, Selangor kira-kira 10 tahun lalu sebelum mereka berpindah ke Johor Bahru memulakan hidup baharu.

Katanya, sejak itu mereka terputus hubungan dengan bapanya dan ibunya membesarkan dia serta abangnya di sini dengan bekerja sebagai pelayan restoran.

"Alasan along berkenaan menuntut hutang bapa kerana saya dikatakan sebagai penjamin untuk pinjaman yang dibuat sedangkan tiada hitam putih atau sebarang dokumen yang ditandatangani. Malah saya tidak pernah pun jumpa atau berurusan dengan semua along terbabit.

"Disebabkan keadaan yang semakin terdesak, saya berusaha mencari nombor telefon bapa sebelum berjaya menghubunginya minggu lalu. Dia mengakui pinjam along dan tidak mahu membayarnya kerana bunga pinjaman kini sudah naik dua kali ganda. Ini kali pertama saya bercakap dengan bapa selepas 10 tahun," ujarnya.

Dia kesal dengan tindakan bapanya itu yang tidak mahu bertanggungjawab selepas mengabai dan meninggalkan mereka tiga beranak selepas kehadiran orang ketiga.

Sementara itu, Meng Haw yang juga Setiausaha Cawangan DAP Johor Jaya berharap, pihak polis akan melakukan siasatan dan kerap melakukan rondaan di rumah Jia Tao demi keselamatan mereka.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Sohaimi Ishak pula ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan kes tersebut sedang disiasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!