Standing Strong fokus isu kesihatan mental

Syira bergambar bersama karyanya ketujuh iaitu Standing Strong yang dilancarkan pada Isnin.
Syira bergambar bersama karyanya ketujuh iaitu Standing Strong yang dilancarkan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Naskhah terbaharu terbitan Karya Bestari iaitu Standing Strong yang memfokuskan perihal psikologi dan isu kesihatan mental bakal menemui penggemar buku tempatan di kedai buku berhampiran tidak lama lagi.

Penulisnya, Syira Lokman berkata, ia merupakan nukilan solo ketujuh yang menekankan tentang kepentingan mempunyai daya tahan dalam proses penyembuhan emosi seseorang.

Menurut kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia itu, buku tersebut juga amat sesuai buat golongan yang mahu mengubah hidup dan bangkit mendepani cabaran selepas melalui episod duka berulang kali.

“Biasalah bila berdepan ujian hidup, kita akan jatuh. Jadi, setiap apa yang ditulis dalam buku ini adalah tentang bagaimana nak bina kemahiran daya tahan dalam diri supaya kita dapat bangkit untuk meneruskan hidup.

“Ini kerana daya tahan tidak boleh dapat secara semulajadi, ia berkembang melalui pengalaman dan juga latihan berterusan,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Malaya itu menjelaskan, dia mengakui buku berkenaan tidak berniat untuk menggantikan pelan intervensi sedia ada yang ditetapkan pakar perubatan psikologi dalam usaha membendung gejala kesihatan mental.

Sebaliknya, ia sekadar dijadikan panduan atau perkongsian awal buat pembaca di luar sana supaya cakna tentang tips dan langkah yang boleh diambil bagi membantu golongan memerlukan.

“Saya perasan satu perkara ketika mengendalikan sesi kaunseling, hanya segelintir yang berani dapatkan bantuan manakala selebihnya tidak berani berjumpa doktor atau kaunselor.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, terdetik dalam hati saya untuk bantu mereka menerusi tulisan buku ini supaya orang lain boleh bantu diri sendiri juga,” ujarnya.

Ditanya mengenai kaedah mendapatkan buku tersebut, dia berkata, orang ramai boleh membelinya di Karangkraf Mall dengan harga RM28 atau menghubungi secara langsung di platform media sosial memandangkan ia baharu sahaja dilancarkan pada Isnin.

“Selain itu, boleh beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bermula 24 Mei hingga 2 Jun depan, kemudian barulah ia berada di kedai buku seluruh negara.

“Diharapkan sambutan pada kali ini baik berbanding dahulu kerana buku sebelumnya pun amat laris, tetapi kita nak lebih lagi supaya isu kesihatan mental diperluas kepada masyarakat umum.

“Selain itu, membuka jalan kepada sesiapa sahaja yang berdepan trauma masa lalu, mempunyai luka lama atau berada dalam persekitaran toksik agar dapat meneruskan hidup dengan lebih baik,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!