Bekas pekerja samun kedai di R&R ditahan

Wan Azharuddin (dua kanan) menunjukkan barang rampasan kes samun berkumpulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Isnin.
Wan Azharuddin (dua kanan) menunjukkan barang rampasan kes samun berkumpulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang bekas pekerja sebuah kedai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun ditahan kerana disyaki melakukan samun berkumpulan di kedai terbabit, 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek berusia 30 tahun itu dilaporkan pernah bekerja di kedai sama ditahan dalam serbuan di sebuah 'port' dadah di Sungai Tiang, Pendang.

Menurutnya, polis masih menjejaki rakan subahat yang dikesan turut terlibat dalam kes sama.

"Bertindak atas risikan maklumat menerusi Op Cantas, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Pendang telah menahan lelaki tempatan yang melakukan aktiviti samun berkumpulan.

"Menerusi serbuan, polis berjaya menyelesaikan kes samun terbabit yang dilaporkan kurang 24 jam dan kita percaya berdasarkan maklumat, suspek merupakan bekas pekerja di kedai yang disamun di R&R terbabit," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Turut dirampas, satu telefon bimbit, sehelai baju-T, dan topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian.

Suspek turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Hasil semakan rekod lampau menunjukkan suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berlainan, Wan Azharuddin berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun kerana mencuri 121 naskhah surat khabar dalam kejadian pada jam lebih kurang 12.05 tengah malam, 18 April lalu.

"Ia hasil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan individu terbabit menaiki motosikal dan mengambil surat khabar yang diletakkan di pekarangan kedai di Taman Patani Jaya di sini,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!