Pembantu am mengaku tidak bersalah rogol, amang seksual adik saudara

Pembantu am berusia 22 tahun (tengah) ketika dibawa keluar di Mahkamah Sesyen, pada Isnin.
Pembantu am berusia 22 tahun (tengah) ketika dibawa keluar di Mahkamah Sesyen, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seorang pembantu am didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik saudara perempuan, dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berumur 13 tahun 6 bulan di sebuah rumah di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 2 pagi, 8 April lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu dan lokasi sama yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Norfazlinda Alimad merayu jaminan rendah terhadap tertuduh dengan alasan dia hanya bekerja sebagai pembantu am dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28