10 IPT mula guna sistem E-Mas

Mustapha Sakmud. Foto Bernama
Mustapha Sakmud. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 10 institut pengajian tinggi (IPT) swasta telah dipilih untuk memulakan platform modul pengurusan berkaitan akreditasi yang dikenali sebagai Sistem Akreditasi Elektronik (e-Mas) bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sistem baharu itu menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan akreditasi dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.

"Antara kelebihan e-MAS adalah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat sepenuhnya dalam talian, boleh diakses 24 jam," katanya ketika melancarkan e-Mas di Majlis Tautan Kasih Pengamal Media, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sistem e-MAS mampu mempercepatkan proses kelulusan setiap permohonan akreditasi mana-mana IPT berbanding tempoh sembilan minggu sebelum ini selepas setiap dokumentasi dilengkapkan.

"Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan akan dimulakan dengan perintisan 10 IPT sebagai rakan sistem e-MAS bermula hari ini," jelasnya.

Antara IPT terbabit adalah Kolej Universiti Penerbangan Malaysia (UniCAM), Universiti Antarabangsa Albukhary, Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Selangor (Unisel) dan SEGI University.

Ujar Mustapha, transformasi sistem itu membolehkan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.

"Kewujudan sistem ini selari dengan agenda pendigitalan kerajaan dan Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Mustapha turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT).

Melalui memorandum ini, ia memudahkan cara elemen pengiktirafan bersama

sekali gus memberi impak positif kepada para pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28