KPDN tumpas kegiatan seleweng diesel subsidi di Klang

Azman Adam
Azman Adam
A
A
A

PUTRAJAYA - Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan satu sindiket di sebuah premis di Klang terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada 16 April lepas.

Serbuan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 48 tahun dan 67 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket dengan menggunakan pelbagai nombor pendaftaran kenderaan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan menjadikan lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat menyimpan serta memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti dianggarkan berjumlah 9,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebuah lori, beberapa buah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) dan skid tank yang mengandungi minyak diesel, motor pam serta beberapa dokumen berkaitan dan peralatan lain yang dijumpai di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM88,300 manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu dan rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan, termasuk sumber minyak diesel diperolehi dan diedarkan.

Selain itu, beliau berkata, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: