Budak lelaki 2 tahun lemas jatuh tasik

Mayat mangsa yang dijumpai di dasar tasik telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto: ihsan Bomba Perak
Mayat mangsa yang dijumpai di dasar tasik telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto: ihsan Bomba Perak
A
A
A

PARIT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik di Masjid An-Nur, Seri Iskandar dekat sini pada Sabtu.

Difahamkan mangsa, Hadi Zulkanain Muhammad Huzaifah bersama empat ahli keluarganya singgah di masjid terapung berkenaan untuk menunaikan solat Zohor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Ashraf Mat Isa berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.19 petang.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang dilaporkan terjatuh tasik di Masjid An-Nur, Seri Iskandar pada Sabtu. Foto: ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang dilaporkan terjatuh tasik di Masjid An-Nur, Seri Iskandar pada Sabtu. Foto: ihsan Bomba Perak

"Maklumat yang diperolehi daripada keluarga berkenaan dan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak tersebut berada bersebelahan dengan tasik berkenaan.

"Berdasarkan maklumat itu, ketua operasi membuat penilaian risiko dan mengarahkan anggota membuat pencarian dengan menggunakan 'whaly boat'," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Ipoh dipanggil bagi membuat selaman di lokasi terakhir mangsa dilihat.

Pasukan penyelamat membawa mangsa ke tebing selepas berjaya ditemui di dasar tasik berhampiran Masjid An-Nur, Seri Iskandar. Foto: Ihsan Bomba Perak
Pasukan penyelamat membawa mangsa ke tebing selepas berjaya ditemui di dasar tasik berhampiran Masjid An-Nur, Seri Iskandar. Foto: Ihsan Bomba Perak

Artikel Berkaitan:

"Pasukan PPDA menyelam di kawasan tasik sedalam 3.6 meter dan menemui mangsa kira-kira tiga meter dari tebing tasik pada jam 4.25 petang.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muhammad Ashraf berkata, operasi mencari dan menyelamat yang tamat pada jam 5 petang turut dibantu pasukan dari BBP Parit dan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!