Majoriti Ketua Bahagian UMNO sokong afidavit Ahmad Zahid - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majoriti daripada 191 Ketua Bahagian UMNO menyokong usaha Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menularkan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp Ketua UMNO Bahagian serta MKT yang telah menerima banyak komen positif terhadap usaha itu.

"Jadi saya anggap UMNO di bawah sana menyokong usaha Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO bagi membantu semaksimum boleh kepada bekas Perdana Menteri, Najib yang banyak berjasa kepada negara sejak berumur 23 tahun.

"Jangan hanya dilihat sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, beliau sebelum itu pernah menyandang timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar dan timbalan menteri," katanya mengulas sokongan UMNO terhadap pembelaan ke atas Najib.

Ahmad ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perladangan dan Komoditi di pekarangan pintu gerbang Kampong Bharu, di sini pada Sabtu.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ahmad berkata, Ahmad Zahid berjanji untuk membantu Najib yang tidak diberi keadilan seadilnya ketika kes SRC International Sdn Bhd berjalan.

"Ahmad Zahid pasti tahu implikasi (terhadap usaha dilakukan) kerana ia melibatkan perakuan sumpah yang ada cop Pesuruhjaya Sumpah.

Artikel Berkaitan:

"Sudah pasti Ahmad Zahid mengetahui apa yang beliau sebut itu perkara benar. Jadi pimpinan UMNO berpegang kepada itu, menyokong penuh serta berharap usaha tersebut berjaya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!