PRK Kuala Kubu Baharu: Hamzah, Azmin mula turun padang dekati pengundi

Laporan Sinar Harian. Mohd Hasnizan (kanan).
Laporan Sinar Harian. Mohd Hasnizan (kanan).
A
A
A

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) memulakan langkah awal dengan berkempen bagi memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Timbalan Pengarah PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Mohd Hasnizan Harun berkata, PN telah mula menggerakkan jentera sebelum penamaan calon pada Sabtu depan.

Menurutnya, dua pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah turun padang bagi menyantuni rakyat di DUN itu pada Jumaat.

"Misalnya pada hari ini, kita gerakkan dua kumpulan yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu) di Kuala Kubu Baharu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Pengerusi Bersatu Selangor) di Batang Kali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Hasnizan berkata, gerak kerja PN sebelum ini turut dibincangkan dalam mesyuarat komponen di peringkat negeri dan PN Hulu Selangor.

"Paling penting kami telah menyusun dari sudut organisasi untuk melengkapkan pergerakan jentera dan ketua-ketua yang terlibat dalam PRN Kuala Kubu Baharu," tambah beliau.

Mohd Hasnizan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor memberitahu, selain itu, tumpuan juga terarah kepada kempen bertemu pengundi dari rumah ke rumah.

Beliau menjelaskan, PN juga memberi fokus kepada 16 pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan calon mereka mendapat sokongan sekali gus memenangi kerusi DUN berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Hasnizan memaklumkan, program itu dijadualkan pada Ahad ini.

Katanya, majlis diadakan di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor itu turut mengundang rakyat untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.

"Program ini di bawah anjuran Bersatu tapi turut mengundang semua untuk hadir termasuklah rakan komponen PN," jelas beliau.

Mengulas mengenai calon yang bakal diletakkan mewakili PN, Mohd Hasnizan memberitahu, perkara itu akan diputuskan pucuk pimpinan PN di peringkat pusat.

"(Soal calon PN) itu tidak dibincangkan di peringkat negeri mahu pun PN kawasan (Hulu Selangor).

"Mungkin (parti) masing-masing menyediakan nama calon, namun akhirnya ia diputuskan di peringkat PN Pusat," jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!