Tempahan hotel, penerbangan di KL, Pulau Pinang dan Sabah meningkat musim raya

Trip.com Malaysia. Foto Hiredly Malaysia
Trip.com Malaysia. Foto Hiredly Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Tempahan hotel, penerbangan dan destinasi pelancongan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah meningkat luar biasa ketika Hari Raya Aidilfitri berdasarkan analisis penyedia perkhidmatan pelancongan, Trip.com Malaysia bagi tempoh 9 hingga 13 April lalu.

Jumlah tempahan di Kuala Lumpur menyaksikan lonjakan sebanyak 113 peratus, manakala Pulau Pinang meningkat ketara kepada 62 peratus dan Kota Kinabalu dengan 89 peratus.

Tempahan hotel domestik meningkat di seluruh destinasi utama termasuk Kuala Lumpur dengan 57 peratus, Pulau Pinang 24 peratus dan Kota Kinabalu sebanyak 62 peratus.

Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, pihaknya teruja menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam tempahan pelancongan ketika sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

“Peningkatan ini bukan sahaja mencerminkan daya tahan perjalanan industri pelancongan, tetapi juga menunjukkan permintaan tinggi untuk pengalaman perjalanan.

“Kami tetap komited menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggan dan berharap dapat meneruskan misi kami memberi pelancong pengalaman perjalanan yang tak boleh dilupakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Stephane turut memaklumkan, peningkatan permintaan pelanggan tersebut jelas menunjukkan pertumbuhan tempahan penerbangan domestik yang kukuh di seluruh destinasi utama di negara ini dengan kenaikan 99 peratus berbanding Aidilfitri tahun lepas.

Tambah beliau, penerbangan antarabangsa dari Singapura ke Malaysia juga menyaksikan pertumbuhan ketara sebanyak 94 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, lonjakan paling luar biasa diperhatikan dalam tempahan penerbangan dari Indonesia ke Malaysia yang menyaksikan peningkatan 33 kali ganda, menandakan minat pelancong terhadap rantau ini.

“Tempahan hotel antarabangsa ke Malaysia dari Singapura meningkat sebanyak 69 peratus manakala dari Indonesia 316 peratus,” ujarnya.

Beliau turut berkata, jumlah dagangan kasar (GMV) untuk semua tempahan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Kuala Lumpur meningkat sebanyak 117 peratus, Pulau Pinang 78 peratus manakala Kota Kinabalu 162 peratus.

“Ini mencerminkan ekonomi pelancongan Malaysia, secara keseluruhan menyaksikan lonjakan 97 peratus yang luar biasa dalam GMV dan menggariskan kejayaan kolektif industri pelancongan,” jelas Stephane lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!