Penyakit jantung: Kerajaan perlu sedia peruntukan, latihan pakar kardiotorasik

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan terlibat dalam pelbagai latihan kepakaran termasuk kardiotorasik di universiti tempatan.

Perkara tersebut penting untuk menangani masalah penyakit jantung yang semakin meningkat setiap tahun.

Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sistem latihan bagi melahirkan doktor pakar telah memenuhi standard dan telah diiktiraf di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu lebih tegas dalam proses melahirkan tenaga pakar profesional dan berwibawa, bukan sekadar mengisi kelompongan sedia ada.

“Kerajaan tidak perlu meminda akta bagi membolehkan National Specialist Register (NSR) mendaftarkan individu tertentu, cukup dengan menyediakan peruntukan kepada mereka yang telah mengikuti latihan diiktiraf dalam negara.

“Sistem latihan kedoktoran dan kepakaran tertentu di IPT dalam negara telah memenuhi standard, termasuk kemampuan program latihan bagi melahirkan pakar kardiotorasik seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selain itu, mana-mana program sarjana tidak diiktiraf perlu dikaji semula dan memperkasakan kursus latihan agar memenuhi standard yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 2 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program Parallel Pathway bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu adalah bagi menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Yunus, kerajaan perlu memikirkan kesan jangka panjang berkaitan kredibiliti bidang perubatan negara bagi mengelakkan sebarang persoalan dan persepsi negatif.

Jelasnya, doktor yang mengikuti Program Parallel Pathway perlu mengikuti modul di IPT yang menjalankan program kepakaran khusus kardiotorasik bagi membolehkan mereka diiktiraf dan didaftarkan sebagai pakar bedah kardiotorasik oleh NSR.

Ujar beliau, pengiktirafan pakar kardiotorasik perlu mengikut lunas undang-undang bukan semudah mengiktiraf mana-mana agensi untuk memenuhi keperluan kepakaran semata-mata.

“Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang implikasi di masa hadapan?

“Adakah kerajaan mahu pengiktirafan dan kredibiliti pakar kardiothorasik disamakan setaraf dengan pengiktirafan sebuah persatuan yang tidak bertauliah?

“KKM perlu menyedari bahawa bukan semudah itu untuk mengiktiraf mana-mana agensi semata-mata untuk memenuhi keperluan kepakaran,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28