Johor tubuh Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah ALLAH

Mohd Na'im (kiri) dan Mohd Fared.
Mohd Na'im (kiri) dan Mohd Fared.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah ALLAH selepas beberapa insiden penyalahgunaan kalimah itu yang mengejutkan negara baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam satu kenyataan bersama menyifatkan perkara tersebut amat serius dan perlu ditangani.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Mohd Fared bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

"Jawatankuasa ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memelihara kehormatan hidup masyarakat berbilang kaum, khususnya di negeri ini.

"Justeru itu, semua dewan perniagaan, persatuan perdagangan dan kumpulan industri hendaklah memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu yang telah berlaku dan supaya tidak berulang," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, kempen kesedaran masyarakat dalam menjaga kepentingan memelihara kehormatan hidup masyarakat berbilang kaum perlu sentiasa disuburkan.

"Ini termasuk pemantauan berterusan daripada semua agensi penguatkuasaan sama ada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Kerajaan memandang serius beberapa insiden yang telah berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan sensitiviti umat Islam. Perkara ini semakin membimbangkan kerana telah menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, penubuhan jawatankuasa khas itu ekoran beberapa insiden penyalahgunaan kalimah ALLAH bermula dengan isu penjualan stoking, logo kasut dan terkini sejadah mini.

Tambah kenyataan itu, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu sebegini di masa akan datang.

"Rakyat berbilang agama perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lalu," kata kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28