Bekas ahli Parlimen Singapura, Saidi Shariff meninggal dunia

Allahyarham Saidi Shariff.
Allahyarham Saidi Shariff.
A
A
A

SINGAPURA - Bekas ahli Parlimen Kaki Bukit dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Saidi Shariff meninggal dunia 5.54 pagi semalam di Hospital Besar Ng Teng Fong akibat serangan jantung.

Allahyarham yang berusia 79 tahun, meninggalkan tiga orang anak dan tujuh cucu.

Menurut anaknya, Sumiyati Saidi, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu selepas hilang selera makan.

Allahyarham merupakan ahli Parlimen dari tahun 1980 hingga 1984 dan juga antara pengasas Yayasan Mendaki.

Beliau adalah antara 25 ahli Parlimen PAP yang dimuatkan dalam buku autobiografi berjudul Kami Juga Berkhidmat: Refleksi mantan Ahli Parlimen PAP Singapura yang merakam kisah dan pengalaman mereka berkhidmat kepada negara itu sejak sebelum kemerdekaan.

Sepanjang kariernya sebagai ahli politik, Allahyarham banyak terlibat dalam gerakan komuniti dan pembentukan akar umbi. Pada pilihan raya umum Singapura tahun 1980, Allahyarham menang di Parlimen Kaki Bukit dengan 72.32 peratus undi.

Selain itu, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli berterima kasih kepada Allahyarham Saidi kerana telah memberi sumbangan besar kepada Singapura.

“Sebagai salah seorang pengasas Mendaki, beliau berada di barisan hadapan dalam menggalakkan kecemerlangan pendidikan di kalangan komuniti Melayu di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: