Suami ugut bunuh isteri ditahan

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

GERIK - Polis berjaya memberkas seorang lelaki berkaitan kes seorang guru wanita yang diikat dan diugut bunuh dalam kejadian di Kampung Alai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, suspek berusia 42 tahun yang merupakan suami mangsa itu diberkas pihak polis di kediamannya di Kampung Alai di sini pada jam 8.30 malam kira-kira 19 jam selepas kejadian.

Zulkifli
Zulkifli

Menurutnya, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa selepas berjaya melarikan diri daripada suspek.

"Sepasukan polis telah dihantar untuk menjejaki suspek. Dia kemudiannya ditahan pada Ahad lebih kurang jam 8.30 malam di kediamannya di Kampung Alai, Gerik.

"Turut dirampas beberapa barang kes dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zulkifli berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Katanya, mangsa yang berusia 35 tahun telah dihantar ke Hospital Gerik untuk pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang lelaki sanggup mengikat dan mencederakan isterinya kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mengugut untuk membakar dan membunuh mangsa.

Kejadian di Kampung Baru Alai di sini pada Sabtu mengakibatkan mangsa, seorang guru mengalami lebam di pergelangan tangan dan kaki kesan diikat dengan tali dan luka di dada akibat cecair lilin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!