Guru diikat, diugut bunuh suami cemburu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Akibat cemburu seorang lelaki sanggup mengikat dan mencederakan isterinya selepas mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 42 tahun terbabit turut mengugut untuk membakar dan membunuh mangsa.

Kejadian di Kampung Baru Alai dekat sini pada Sabtu mengakibatkan mangsa, seorang guru mengalami lebam di pergelangan tangan dan kaki kesan diikat dengan tali dan luka di dada akibat cecair lilin.

Difahamkan, semasa kejadian mangsa berusia 36 tahun sedang tidur di bilik rumahnya sebelum dikejutkan suspek dengan meletakkan pisau pada leher.

Lelaki itu kemudiannya mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan tali selain mengugut akan membunuh wanita terbabit sekiranya tidak memberi kerjasama.

Tindakan suspek itu dilakukan selepas mengesyaki isterinya membawa masuk lelaki asing ke rumah untuk beraya ketika ketiadaannya.

Mangsa telah menafikan perkara itu dan merayu agar dilepaskan, namun tidak diendahkan sebaliknya suspek mengugut mahu membakar mangsa dan rumah sekiranya tidak mengaku.

Difahamkan, mangsa berjaya melepaskan diri dengan memberi alasan mahu ke bilik air dan segera beredar keluar dari rumah menggunakan kereta.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang dalam ketakutan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kampung Lalang.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!