Konflik Asia Barat: BNM pastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur

BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan.
BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap susulan konflik di Asia Barat.

BNM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, operasi pasarannya akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur.

"Hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama GLC, GLIC, syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing.

"BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di Facebook menegaskan kerajaan sedang memantau rapat perkembangan di Asia Barat termasuk kedudukan pasaran kewangan dan potensi impak ke atas negara ini.

Ujar beliau, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

Dalam pada itu, tambah BNM, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan termasuk ketua operasi perbendaharaan yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: