Inspirasi Sivasangari

Sivasangari patut dijadikan contoh terbaik kepada atlet muda negara yang lain. Foto Bernama
Sivasangari patut dijadikan contoh terbaik kepada atlet muda negara yang lain. Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN jaguh skuasy negara, S Sivasangari memahat sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Kejohanan Klasik London awal bulan ini dipacu oleh mentaliti menang yang tinggi.

Penganalisis sukan, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, kejayaan tersebut turut didorong oleh tiga elemen lain yang wajar menjadi inspirasi kepada para atlet negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau berkata, tiga elemen tersebut ialah usaha yang jitu, kelebihan berlatih di luar negara dan motivasi luar biasa yang dimiliki pemain berusia 25 tahun itu.

Hasnul
Hasnul

“Kejayaan Sivasangari dalam kejohanan itu menjadi mercu tanda dalam sejarah sukan skuasy negara.

“Kemenangannya bukan hanya melambangkan pencapaian peribadi tetapi merangkumi naratif yang lebih luas tentang ketabahan dan semangat dalam menghadapi cabaran,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sivasangari menjadi atlet pertama negara mengungguli kejohanan bertaraf emas itu setelah menewaskan pemain nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy dalam perlawanan akhir.

Pada aksi final di Alexandra Palace itu, Sivasangari menampilkan aksi cukup bertenaga biarpun ditentang sengit lawannya sebelum mencatat kemenangan 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh 81 minit permainan.

Artikel Berkaitan:

Hasnul menjelaskan pemain yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu berada dalam kemuncak prestasi hasil usaha gigih serta komitmen tinggi untuk berjaya dalam sukan tersebut.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, demi cita-cita dia cekal dalam usahanya dan sentiasa berfikiran positif dengan mengenepikan semua halangan untuk kekal fokus ketika di gelanggang.

“Apa yang boleh kita pelajari dari situasi ini adalah semangat dan tekad yang kuat, selain sikap tidak pernah putus asa,” katanya.

Tambah beliau, pendedahan di luar negara yang Sivasangari perolehi membantunya bersaing dalam kejohanan antarabangsa yang kompetitif, selain kualiti fasiliti, sokongan sains sukan dan persekitaran kondusif untuk berlatih.

Malah katanya, jurulatih Sivasangari, David Palmer yang berpangkalan di New York mempunyai rekod terbaik sebagai pemain dan jurulatih.

“Pendedahan di luar negara bukan sahaja dapat meningkatkan dan mempertajam kemahirannya, tetapi meluaskan pemikiran yang membantu pembentukan kematangan dalam gaya bermain dan pendekatan strategi yang berbeza," katanya.

Menurut Hasnul, kemenangan Sivasangari wajar menjadi sumber inspirasi yang kuat bagi atlet yang bercita-cita tinggi yang disulami dengan ketekunan, ketabahan dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengejar kecemerlangan.

“Sivasangari patut dijadikan contoh terbaik bagi para atlet muda negara untuk menanamkan semangat dan keyakinan bahawa dengan kerja keras serta tekad, segalanya adalah mungkin,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!