Lumpuh akibat microsleep

Kereta yang dipandu Normadiah mengalami kerosakan total kerana terbabas sehingga memasuki parit di Kampung Gajah, Perak. Gambar kanan: Normadiah
Kereta yang dipandu Normadiah mengalami kerosakan total kerana terbabas sehingga memasuki parit di Kampung Gajah, Perak. Gambar kanan: Normadiah
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden yang berlaku 14 tahun lalu disebabkan microsleep masih segar dalam ingatan kerana ia menjadi titik permulaan seorang wanita bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat patah tulang belakang.

Guru Matematik, Normadiah Mohamad Shafiei, 39, berkata, dia bersyukur kerana ALLAH SWT memberi peluang untuk meneruskan kehidupan walaupun berhadapan dengan perbezaan cara hidup.

“Kemalangan yang berlaku pada 27 Januari 2010 masih segar dalam ingatan walaupun saya tidak dapat mengingati gambaran sebenar insiden.

“Malam sebelum kejadian saya menghadiri mesyuarat di Seri Iskandar. Memandangkan mesyuarat habis lewat, saya memilih untuk menginap di rumah rakan.

“Jam 5 pagi, saya terjaga dan terus bersiap untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, Tapah, Perak, namun pada jam 5.45 pagi saya dijumpai dalam parit di Kampung Gajah dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Normadiah, kereta dipandunya mengalami kerosakan total akibat terbabas ke dalam parit.

Kongsi guru dari SMK Felda Besout itu, beberapa hari sebelum kejadian, dia sibuk menguruskan beberapa perkara sehingga tidak cukup rehat dan tidur.

Mengakui terlelap seketika, Normadiah berkata, dia tidak menyangka kemalangan itu telah mengubah kehidupannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak mengalami kecederaan luaran teruk, hanya bibir sahaja menerima lima jahitan. Kalau melihat keadaan tubuh ketika itu, saya tak sangka hilang keupayaan untuk bergerak bebas.

“Setelah melakukan imbasan sinar-X, doktor memaklumkan saya cedera pada saraf tunjang,” ujarnya yang berasal dari Felda Gunung Besout 2, Sungai, Perak.

Susulan kecederaan itu, Normadiah memberitahu, dia memerlukan RM10,000 untuk menjalani pembedahan tulang belakang.

“Ibu saya terkejut apabila doktor memaklumkan kos pembedahan. Bagaimanapun, ALLAH hantar sahabat-sahabat yang baik untuk bersama saya dan berpakat mengumpulkan wang berkenaan. Alhamdulillah, sekejap sahaja wang pembedahan berjaya dikumpulkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!