Dua R&R akan dibina di Lebuhraya LTU

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan duit raya pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di sini pada Khamis.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan duit raya pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Dua hentian rehat dan rawat (R&R) akan dibina di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) untuk kemudahan pengguna laluan itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan R&R itu dicadang dibina di laluan antara Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis.

Menurutnya, pembinaan kemudahan itu dijangka akan membantu mengatasi isu sampah di jalan berkenaan terutama ketika musim perayaan.

"Pembinaan R&R itu kini dalam proses tindakan melibatkan pelbagai pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri akan menyediakan tapak yang sesuai bagi pembinaan R&R tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di sini pada Khamis.

Turut berangkat, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Wan Rosdy berkata, kemudahan ini tidak boleh disediakan dalam masa terdekat dan akan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia perlu melalui pelbagai proses termasuk kajian, kelulusan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun usaha-usaha ke arah penyediaan kemudahan itu telah dimulakan," ujarnya.

Sementara itu katanya, tindakan jangka pendek berhubung isu sampah di laluan tersebut telah diambil PBT dengan kerjasama syarikat pembersihan Alam Flora.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyediakan tong-tong sampah di lokasi yang dikenal pasti untuk dijadikan hentian sementara bagi memudahkan pengguna jalan berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, pengguna Lebuhraya LTU diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata sebaliknya cari tempat yang telah disediakan.

Sebelum ini, media melaporkan ketiadaan kemudahan R&R menjadi antara alasan pengguna lebuh raya itu membuang sampah ketika singgah berehat di tepi laluan tersebut.