Penuhi Syawal dengan tingkatkan semangat perpaduan - Pakar

Lee Lam Thye (Iklan raya RHB ‘lembaran baharu’ menambat hati pelbagai masyarakat negara ini menerusi ‘semangat muhibah’ yang terjalin, tatkala menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit.)
Lee Lam Thye (Iklan raya RHB ‘lembaran baharu’ menambat hati pelbagai masyarakat negara ini menerusi ‘semangat muhibah’ yang terjalin, tatkala menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Durasinya hanya lima minit namun tetapi ‘lembaran baharu’ yang disampaikan menerusi iklan hari raya RHB, begitu menambat hati pelbagai masyarakat negara ini menerusi ‘semangat muhibah’ yang terjalin, tatkala menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit.

Iklan raya berdasarkan daripada kisah benar mengenai seorang ibu berbangsa India, anaknya dengan seorang peguam berbangsa Melayu, bukan sahaja meruntun hati ramai tetapi juga turut menjadi sumber inspirasi.

Kegigihan seorang peguam bernama Zahiril yang bersungguh-sungguh memohon ibu tersebut untuk mendapatkan ‘Bon Berkelakukan Baik’ atas kesalahan mencuri kotak pensil tanpa meminta sebarang bayaran, jelas membuktikan ‘semangat muhibah’ yang masih lagi menebal.

Benarlah seperti penekanan dalam video hari raya yang bertajuk ‘Lembaran Baharu’ itu, ‘benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain’, dan kerana itu, ramai yang mengharapkan ukhwah tersebut terus kukuh, termasuklah dalam kehidupan realiti.

Melihat kepada mesej perpaduan yang disampaikan, ia sangat signifikan dengan pengisian Syawal dalam mengeratkan lagi hubungan masyarakat berbilang bangsa di negara ini, selain sedikit sebanyak meredakan isu-isu sensitif terutama membabitkan soal kaum dan agama, sehingga mencetuskan kegusaran dalam masyarakat kebelakangan ini.

Tambahan pula dengan adanya gerakan, ‘Maaf Zahir Batin Hari-hari’(#MZB365) yang diperkenalkan pertubuhan dalam masyarakat sivil (CSO) dan media di Malaysia, wajar diperluaskan atau disokong ramai pihak kerana dilihat sebagai platform terbaik meningkatkan semangat perpaduan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau yang merupakan pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, sebaiknya kempen tersebut tidak hanya sekadar rancak pada Syawal atau tempoh tertentu sahaja, tetapi berpanjangan pada bila-bila masa.

"Sebagai rakyat, tidak kira agama dan bangsa, kita harus memahami isu sensitif dalam negara, selain perlu menunjukkan rasa kasih sayang antara satu sama lain, supaya keharmonian masyarakat majmuk ini dapat ditonjolkan dan diperkukuhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gerakan ini diperkenalkan bertujuan melawan ungkapan kebencian etnik-agama, serta menggalakkan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari, selain turut menekankan kepentingan amalan itu merentasi pelbagai kepercayaan dan latar belakang budaya, termasuk Islam, Budha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan komuniti orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Dalam merancakkan gerakan ini, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang berkata kerajaan juga, harus memainkan peranan dalam merangka kempen yang bersesuaian bagi memupuk semangat perpaduan dan cinta akan negara.

"Sejak 2000, perkataan seperti ‘muhibah’ tidak lagi ditekankan kerajaan dan kini, perkataan berkait dengan teknologi dan AI (kecerdasan buatan) yang dikentengahkan (kerajaan). Tidak dinafikan ia penting memajukan negara, tetapi jangan lupa kata-kata yang dapat membuatkan rakyat bersatu,” katanya.

Tidak boleh disandarkan hanya kepada bahu kerajaan semata-mata, penganalisis politik Dr G. Manimaran melihat pemimpin politik termasuk wakil rakyat, turut memainkan peranan penting untuk memberikan kefahaman terhadap sebarang situasi yang berkemungkinan menggugat perpaduan negara.

Ini kerana, tokoh-tokoh tersebut mempunyai pengaruh tersendiri, paling dekat dengan rakyat dan kerana itu, amat penting, emosi mereka terkawal dalam membahaskan pelbagai isu khususnya yang berkait dengan perpaduan, bagi mengelakkan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Bagi bekas pemain beregu badminton lelaki negara Koo Kien Keat, beliau berpandangan sukan merupakan medium perpaduan paling berkesan, dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sukan dimainkan oleh semua, tidak mengira umur, kaum mahupun jantina. Mereka akan duduk sekali bersama-sama untuk menyokong kelab atau negara yang diminati, dan saya selepas bersara pun, ramai rakyat berbilang kaum masih menegur atas sumbangan saya kepada negara,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!