Dua lelaki simbah petrol, bakar Hilux diburu

Keadaan Toyota Hilux musnah terbakar. Foto Ihsan polis
Keadaan Toyota Hilux musnah terbakar. Foto Ihsan polis
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan dua lelaki yang didakwa melakukan khianat dengan menyimbah minyak petrol dan membakar sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Seroja, Kampung Sungai Kayu, Ara Damansara, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, mangsa lelaki berusia 56 tahun yang bekerja sebagai kontraktor meletakkan kenderaan dalam keadaan baik di kawasan itu.

"Bagaimanapun, pada jam 11.45 malam, dua lelaki menunggang sebuah motosikal berhenti di bahagian hadapan kenderaan itu dan terus menuang cecair disyaki petrol sebelum kenderaan itu terbakar.

"Ketika kejadian mangsa tiada di dalam kenderaan dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perbuatan dua lelaki itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan mangsa memberitahu tidak bermusuh dengan sesiapa serta tidak mengesyaki mana-mana pihak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: