KPKM jamin bekalan beras mencukupi untuk lima bulan

KPKM beri jaminan bekalan beras di pasaran ketika ini mencukupi untuk keperluan rakyat bagi tempoh 5.48 bulan. Gambar hiasan
KPKM beri jaminan bekalan beras di pasaran ketika ini mencukupi untuk keperluan rakyat bagi tempoh 5.48 bulan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras di pasaran ketika ini mencukupi untuk keperluan rakyat bagi tempoh 5.48 bulan.

Kementerian itu memaklumkan, stok fizikal beras negara setakat ini sebanyak 1.097 juta tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras.

"Bagi maksud keterjaminan bekalan beras negara, jumlah tersebut stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan.

"Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini," menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu KPKM berkata, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan selain penurunan harga beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 turut dilaksanakan bagi menampung keperluan pengguna seperti dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

Menurutnya, kerajaan juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

Antara yang dirangka adalah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

"KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain makanan ruji negara.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini merupakan antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!