Penamatan subsidi ayam, kekurangan bekalan beras curi tumpuan pada 2023

Hal berkaitan kos sara hidup, harga dan kekurangan bekalan barangan keperluan serta subsidi bersasar antara yang mewarnai pengisian kalendar isu-isu rakyat tahun ini - dengan pelbagai langkah progresif diambil kerajaan dalam melaksana langkah-langkah intervensi. - Gambar hiasan
Hal berkaitan kos sara hidup, harga dan kekurangan bekalan barangan keperluan serta subsidi bersasar antara yang mewarnai pengisian kalendar isu-isu rakyat tahun ini - dengan pelbagai langkah progresif diambil kerajaan dalam melaksana langkah-langkah intervensi. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hal berkaitan kos sara hidup, harga dan kekurangan bekalan barangan keperluan serta subsidi bersasar antara yang mewarnai pengisian kalendar isu-isu rakyat tahun ini - dengan pelbagai langkah progresif diambil kerajaan dalam melaksana langkah-langkah intervensi.

‘Kegawatan’ minyak masak peket, telur dan beras di pasaran yang dialami beberapa ketika tahun ini, menyaksikan rakyat sedikit sebanyak agak panik, sekali gus menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu memandangkan ia melibatkan barangan keperluan asas.

Paling mencuri tumpuan sudah tentu berhubung isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) susulan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.

Tidak hanya berpeluk tubuh, kerajaan pada September mengumumkan empat langkah intervensi tambahan, antaranya mengadakan rundingan bersama 157 kilang komersial dengan menyerahkan 20 peratus pengeluaran padi kepada kerajaan supaya dapat diurus dan diedarkan oleh kerajaan selain melancarkan Op BPT.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut meminta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mempunyai 1,400 cawangan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan lebih kurang 35 cawangan seluruh negara untuk mengedar beras tempatan kepada rakyat.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi BPI mulai 5 Okt untuk membolehkan ia diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.

Tahun 2023 juga menyaksikan kerajaan memulakan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, antaranya melalui penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November lepas, namun meneruskan mekanisme pemberian subsidi bagi telur gred A, B, C.

Langkah itu, menurut kerajaan adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, memandangkan sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.

Artikel Berkaitan:

Walaupun ramai menyuarakan kebimbangan keputusan itu dikhuatiri akan menyebabkan harga sumber protein itu naik, namun ironinya, tinjauan mendapati rata-rata peniaga menurunkan harga ayam antara 10 hingga 20 peratus, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat.

Langkah penyasaran semula subsidi juga dapat dilihat pada Jun apabila kerajaan mengumumkan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass Through (ICPT) di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Ia menyaksikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj, membabitkan 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung, serta melibatkan kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion.

Langkah penyasaran subsidi, yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), sedikit sebanyak turut membantu kerajaan membuat penjimatan yang membolehkan ia disalurkan kepada rakyat dengan lebih efisien pada tahun ini.

Ia antara lain dapat dilihat menerusi inisiatif Payung Rahmah, yang menyaksikan pelbagai program bermanfaat khusus untuk rakyat secara langsung seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Pakej Jalur Lebar Rahmah, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Tidak itu sahaja, 2023 juga merupakan tahun yang menyaksikan kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia yang mencerminkan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

Malah lebih 210,000 penerima STR dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, turut menerima SARA berjumlah RM600 bagi mendapatkan barangan keperluan makanan asas - dan itu adalah antara sebahagian langkah kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah berdepan cabaran kos sara hidup.

Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), satu daripada langkah intervensi yang menyasarkan peningkatan pendapatan golongan miskin tegar dan kumpulan B40 pula, telah memberikan manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga November ini.


Ekonomi Global, Malaysia harungi cabaran kewangan dan geopolitik pada 2023

Dalam perkembangan berasingan tahun 2023 yang semakin menghampiri penghujungnya, terbukti menjadi tempoh mencabar bagi ekonomi global serta Malaysia, diasak oleh faktor seperti ketegangan geopolitik yang berlanjutan, pengetatan dasar monetari bagi menangani inflasi serta peningkatan risiko kelembapan ekonomi di serata dunia.

Ini disukarkan lagi oleh ketidaktentuan yang dialami oleh negara-negara utama dengan tempiasnya turut dirasai oleh kalangan negara-negara sedang pesat membangun selain menjejaskan dinamik dagangan yang sedia mencabar akibat ketegangan perdagangan yang berlanjutan.

Sudah pasti, bahang itu turut dirasai Malaysia yang tidak kebal daripada perkembangan global berikutan ciri ekonominya yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan.

Bagaimanapun, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta asas kukuh yang dibina selama ini, telah meningkatkan daya tahan ekonomi serta meletakkan negara di landasan pertumbuhan yang stabil.

"Faktor-faktor positif ini yang disokong oleh dasar dan pelan tindakan kukuh bertunjangkan kerangka Ekonomi Madani serta pelaksanaan berterusan langkah-langkah dan inisiatif pragmatik ditetapkan oleh kerajaan, akan memastikan ekonomi kita kukuh dan berdaya tahan.

"Walaupun sektor luaran kekal penting, pertumbuhan kini semakin didorong oleh permintaan domestik," kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Oktober lepas.

Malah, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara baru-baru ini, Anwar berkongsi kejayaan Malaysia meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan beliau di luar negara, tahun ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen itu diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

"Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," kata beliau.

Pada masa sama, kerajaan telah meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023 yang melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.

Pencapaian lain adalah jumlah perdagangan Malaysia yang berjaya melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, mencecah RM2.181 trilion dengan eksport berjumlah RM1.186 trilion manakala import bernilai RM995.55 bilion.

Pertumbuhan ekonomi kekal memberangsangkan

Jika diamati, meskipun dalam persekitaran kelembapan ekonomi global, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 dan dijangka tumbuh pada 4.0 peratus secara keseluruhan pada tahun ini.

Memperincikan perkara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam pekerjaan dan upah manakala aktiviti pelaburan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun selain langkah syarikat mengembangkan kapasiti masing-masing.

"Eksport kekal perlahan dalam persekitaran permintaan luaran yang lemah. Ini bagaimanapun, diimbangi sebahagiannya oleh pemulihan yang dicatatkan oleh sektor pelancongan dalam negara.

"Bagi aspek penawaran pula, (sumbangan) sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian kekal menyokong pertumbuhan," kata beliau ketika pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga pada Oktober lepas.

Prestasi kemajuan ekonomi Malaysia turut diulas oleh Perdana Menteri yang menyifatkan kejayaan mencatat pertumbuhan ekonomi dan mengharungi krisis itu sebagai mustahil tanpa pengorbanan serta dedikasi rakyat.

"Kerajaan kekal teguh dalam memastikan semua rakyat mampu menikmati hasil kekayaan dan kemakmuran negara menerusi pertumbuhan mampan dan inklusif.

"Menyedari hakikat inilah kerangka 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' dirangka dengan menumpukan keutamaan untuk berkhidmat kepada rakyat," kata beliau.

Pada masa sama, kerajaan juga telah menetapkan beberapa sasaran untuk membolehkan negara mencapainya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Pelaksanaan inisiatif ini dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pada kadar diunjurkan iaitu empat peratus hingga lima peratus pada 2024. Adalah penting untuk memastikan pengagihan kekayaan ekonomi negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan memberikan keutamaan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik dan pendidikan yang berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, secara keseluruhannya, Malaysia masih berupaya menjana pendapatan ketika berdepan dengan persekitaran yang mencabar.

"Malaysia masih mencatat pertumbuhan positif meskipun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, namun masih menunjukkan kemampuan untuk meraih kemajuan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar.

"Kadar inflasi berterusan turun sembilan bulan berturut-turut kepada hanya dua peratus ketika ini dan kita juga tidak melihat kadar faedah seperti kadar faedah semalaman (OPR) naik mendadak...(pada masa ini) hanya 3.0 peratus,” katanya kepada Bernama.

Malah, data terkini juga menunjukkan kadar pengangguran berkurangan kepada 3.2 peratus,

NETR, NIMP 2030 dan RMK12

Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai lepas, berperanan sebagai asas kepada beberapa dasar yang baru diumumkan, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

NETR Fasa 1 yang telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Julai lepas merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

Pada pelancaran itu, Rafizi turut mengumumkan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion dan membuka sebanyak 23,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Realitinya, NETR bukan sahaja dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar bersih, malah sebagai gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, kehidupan rakyat dan kedudukan negara di peta dunia.

NIMP 2030 yang dilancarkan pada 1 September, 2023 pula bakal memberi nafas baharu dalam merencanakan hala tuju perindustrian negara bagi pertumbuhan fasa ekonomi negara seterusnya.

Pelan induk itu menggunakan pendekatan berasaskan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar dengan hasrat untuk memajukan ekonomi, membina negara berdaya maju dalam teknologi, mendorong ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan.

KSP RMK12 bermatlamat untuk merealisasikan pembaharuan diperlukan dan dihasratkan oleh rakyat, dengan segenap usaha untuk menterjemahkan aspirasi Malaysia Madani berdasarkan kerangka Ekonomi Madani.

Pelaksanaan RMK12 dalam tempoh dua tahun terakhir akan menjadi aspek kritikal dalam memastikan perancangan yang berterusan untuk mempercepat pembangunan negara dan memperkasa rakyat.

Unjuran ekonomi lebih cerah

Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang menjadi pengukur untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat bulan hingga enam bulan ke hadapan, bertambah baik kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5 peratus, menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik dalam masa terdekat.

Berdasarkan arah aliran jangka panjang pada September 2023, IP kekal di bawah trend 100.0 mata dan meskipun dalam trend berkenaan, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh sederhana, disokong oleh permintaan domestik yang menggalakkan di tengah-tengah cabaran mata wang dan kelembapan ekonomi dunia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (20.8 peratus) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaannya (17.6 peratus) menyumbang secara positif kepada IP.

Dalam pada itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, meningkat 2.1 peratus kepada 123.8 mata pada September 2023 berbanding 121.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, diterajui oleh Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (8.6 peratus), diikuti oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (3.6 peratus).

Pada masa sama, perubahan bulanan IS turut meningkat sebanyak 0.2 peratus dengan jumlah guna tenaga dalam pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ini (0.3 peratus), kata DOSM.

Pandangan positif

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, secara amnya wujud pandangan positif terhadap pentadbiran sekarang, terutamanya berikutan kestabilan politik yang lebih baik.

"Kestabilan politik adalah asas dalam memastikan keyakinan pelabur yang menyumbang kepada daya maju ekonomi.

"Terdapat tumpuan lebih terhadap penyatuan fiskal berikutan pemansuhan harga siling ayam, rasionalisasi subsidi untuk tenaga elektrik dan diesel serta pelaksanaan program subsidi bersasar pada tahun depan,” katanya.

Yeoh berkata pelabur juga telah memberi reaksi terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang dibentangkan serta diluluskan oleh Dewan Rakyat, baru-baru ini.

"Ini memberi petunjuk bahawa kerajaan akan menggunakan langkah khusus serta had bagi mengurus kewangan awam, contohnya mengehadkan nisbah hutang kepada KDNK pada 60 peratus (di bawah nisbah semasa 65 peratus).

"Kerajaan turut mengumumkan dokumen dasar termasuk NETR, NIMP, rangka kerja Malaysia Madani dan KSP RMK12 yang memaklumkan keutamaan dasar kepada orang ramai,” katanya.

Susulan itu, Yeoh berkata apa diperlukan pada masa ini adalah merealisasikan dokumen dasar dan strategi itu kepada tindakan -- misalnya industri perlu mengetahui sektor yang akan diutamakan memandangkan tenaga dan kemampanan sememangnya disebut sebagai bidang dasar utama.

"Tindakan segera bagi menangani masalah struktur ekonomi negara juga diperlukan, termasuk menyediakan pelan hala tuju jelas mengenai transformasi dan pelupusan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), keterjaminan makanan dan perundangan Akta Perolehan Kerajaan (bagi membantu memerangi rasuah dalam usaha perolehan).

"Pada akhirnya, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor kerajaan serta kualiti perkhidmatan awam akan dapat melonjakkan keyakinan pelabur dalam jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin terjejas sekiranya konflik Israel-Palestin kian semakin meruncing dan turut melibatkan negara-negara Arab lain di rantau berkenaan.

Kementerian Ekonomi baru-baru ini juga mengingatkan skala konflik yang besar akan memberi impak ketara terutama dari segi kenaikan harga minyak dan gangguan terhadap rantaian bekalan perdagangan dengan kesannya ke atas inflasi global dan pertumbuhan ekonomi secara amnya serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, jika hanya melibatkan Palestin dan Israel, ini tidak memberi sebarang kesan ekonomi langsung kepada dunia secara amnya berikutan kedua-duanya bukan antara negara perdagangan utama dunia. - Bernama